Ahli Perniagaan, Nicky Liow Soon Hee bercakap bersama Peguam, Datuk Rajpal Singh selepas sidang media di Four Points by Sheraton Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JULAI 2026 (GAMBAR FAIL)

PUCHONG – Ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee tidak sepatutnya dijadikan “kambing hitam” untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan penularan gambar beliau memakai baju Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bergambar bersama perdana menteri  pada satu program baru-baru ini.

Peguam, Datuk Rajpal Singh menegaskan, kehadiran Nicky Liow pada program tersebut adalah atas jemputan umum melibatkan ribuan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Dia hadir sebagai orang awam. Ramai yang datang hari itu, kira-kira 3,000 orang. Dia bukan tetamu khas, bukan berada di khemah VIP dan bukan juga rakan peribadi perdana menteri.

“Selepas ucapan perdana menteri selesai, kawasan itu dibuka kepada orang ramai dan ramai mengambil gambar, termasuk Liao Sun Hee (Nicky). Tidak ada apa-apa yang istimewa mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini tular gambar Nicky Liow  yang memakai baju Angkatan Muda Keadilan bersama Anwar di program khas PKR di PJ Civic Hall.

Rajpal Singh berkata, Nicky Liow adalah penyumbang dalam tabung pemuda sebelum diberikan baju-T yang dipakainya pada hari berkenaan.

Peguam itu berkata, tindakan pihak tertentu membangkitkan semula isu lampau anak guamnya semata-mata kerana gambar bersama Anwar adalah tidak wajar dan berbaur fitnah.

Beliau turut berharap ahli Parlimen yang membangkitkan perkara itu tampil memohon maaf kerana didakwa mengaitkan Liow dengan pelbagai tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Rajpal menjelaskan, Nicky Liao sebelum ini pernah berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 130B Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), namun Mahkamah Tinggi telah melepaskan dan membebaskannya selepas mendapati tiada bukti kukuh.

“Rayuan pihak pendakwaan juga telah ditarik balik selepas representasi dibuat. Jadi, kes SOSMA itu telah selesai sepenuhnya.

“Begitu juga dengan kes berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA). Ia bukan melibatkan penipuan atau sindiket Macau Scam seperti yang didakwa, sebaliknya berkaitan isu pendedahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Menurutnya lagi, selepas pembayaran dibuat kepada LHDN berjumlah hampir RM400,000, kes tersebut turut ditarik balik dan semua pertuduhan digugurkan.

Rajpal berkata, anak guamnya kini tidak lagi berdepan sebarang siasatan atau status buruan, sebaliknya mahu meneruskan kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang biasa.

“Mahkamah telah membebaskan beliau. Jadi, hentikan tuduhan bahawa dia seorang pelarian atau penjenayah. Biar dia meneruskan kehidupannya dan menyumbang kepada masyarakat.

“Kalau dia bergambar dengan Perdana Menteri atau memakai baju PKR selepas membuat sumbangan, apa salahnya? Itu hak dia sebagai warganegara,” katanya.

Pada masa sama, Rajpal tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memfitnah Nicky Liao, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

“Buat masa ini, belum ada keputusan sama ada untuk mengeluarkan notis tuntutan atau memfailkan saman fitnah. Sidang media hari ini hanya untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast