SEREMBAN – Kerajaan Madani telah menyalurkan manfaat berjumlah RM1.1531 bilion kepada masyarakat India sejak tahun 2023 menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan skim pembiayaan ekonomi, membuktikan komitmennya bukan sekadar janji tetapi diterjemahkan melalui tindakan.
Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Gunarajah George dan Timbalan Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli MPP, Sivamalar Genapathy dalam kenyataan bersama hari ini.
Menurut mereka, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyediakan peruntukan besar bagi memperkasa pendidikan, ekonomi, pembangunan komuniti, bahasa, budaya dan kesejahteraan masyarakat India di negara ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM597.5 juta diperuntukkan khusus bagi pembangunan masyarakat India melibatkan pelbagai sektor.
Antara peruntukan utama ialah RM450 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi memperkasa pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Selain itu, RM101 juta disalurkan kepada Maju Institute of Educational Development (MIED) manakala RM46.5 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penyelenggaraan serta pembinaan 344 kuil Hindu di seluruh negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kerajaan turut memperuntukkan RM182 juta bagi memperkukuh pendidikan masyarakat India, termasuk RM30 juta bagi pembinaan blok tambahan di enam Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), RM130 juta untuk penyelenggaraan SJKT dari 2023 hingga 2026 serta RM22 juta kepada Kolej TAFE pada tahun ini.
Katanya, peruntukan kepada Kolej TAFE meningkat lebih 10 kali ganda berbanding RM2 juta yang disediakan pada tahun 2024.
Selain pendidikan, kerajaan menyediakan RM20 juta bagi pembangunan infrastruktur komuniti termasuk pembinaan krematorium serta RM5 juta bagi memperkasakan Bahasa Tamil melalui persidangan, penyelidikan di Universiti Malaya dan penyediaan bahan pengajaran serta pembelajaran di sekolah.
Dalam aspek ekonomi pula, kerajaan menyediakan pembiayaan berjumlah RM555.6 juta menerusi beberapa skim, termasuk RM100 juta melalui PENN di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), RM271.6 juta melalui SPUMI oleh TEKUN Nasional, RM100 juta menerusi BRIEF-i Bank Rakyat, RM50 juta melalui SME Bank dan RM34 juta menerusi Misi VETI Madani.
Menurut mereka, gabungan peruntukan pembangunan masyarakat India dan pelbagai skim pembiayaan ekonomi itu menjadikan jumlah keseluruhan manfaat yang disediakan kepada masyarakat India mencecah RM1.1531 bilion.
“Ini membuktikan Kerajaan Madani tidak hanya muncul ketika musim pilihan raya dengan pelbagai janji, sebaliknya telah melaksanakan dasar yang memberi impak sebenar kepada kehidupan masyarakat India.
“Malah, angka RM1.1531 bilion itu masih belum mengambil kira pelbagai inisiatif lain yang turut dinikmati masyarakat India seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
”Selain itu, Program BUDI Madani, kenaikan kadar gaji minimum, bantuan persekolahan dan pelbagai bantuan lain yang disalurkan kepada rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.
Masyarakat India turut menerima manfaat daripada perkembangan ekonomi negara, termasuk pengukuhan nilai ringgit, penurunan kadar pengangguran daripada 3.4 peratus pada 2023 kepada 2.9 peratus pada 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 3.6 peratus kepada 5.2 peratus, tambah mereka.
Pelaburan juga meningkat daripada RM329.5 bilion kepada RM426.7 bilion dalam tempoh sama.
Sehubungan itu, mereka menyeru pengundi Negeri Sembilan, khususnya masyarakat India, membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian kerajaan pada PRN yang akan berlangsung 1 Ogos ini.
Menurut kenyataan itu, mandat kepada Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun perlu diteruskan bagi memastikan agenda memperkasa pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan komuniti serta pemeliharaan bahasa dan budaya masyarakat India dapat diteruskan demi manfaat generasi akan datang. – MalaysiaGazette
















