Gambar hiasan

SELAMA hampir dua dekad, masyarakat India menjadi antara  pengundi yang paling banyak mempengaruhi perubahan landskap politik negara.

Jika pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2018 mereka menjadi antara pemangkin utama kebangkitan pembangkang sehingga berjaya menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN), hari ini corak pemikiran mereka semakin berubah.

Di Negeri Sembilan, perubahan itu membawa makna yang lebih besar. Dengan masyarakat India membentuk kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan pengundi serta mempunyai pengaruh di lebih separuh daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiap perubahan sokongan mampu menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah gabungan politik, khususnya di kerusi campuran yang sering menyaksikan persaingan sengit.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Negeri Sembilan menjadi medan paling penting dalam mengukur kecenderungan politik masyarakat India di Malaysia.

Hakikatnya, sokongan besar masyarakat India kepada Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu tidak berlaku secara kebetulan.

Ia lahir daripada rasa tidak puas hati yang terkumpul selama bertahun-tahun terhadap pelbagai isu yang dianggap gagal diberikan perhatian sewajarnya, mendorong mereka mencari alternatif politik yang menjanjikan perubahan.

Kebangkitan gerakan Hindraf pada 2007 menjadi titik perubahan paling ketara. Ketika itu, masyarakat India bukan sekadar menuntut perubahan kerajaan, sebaliknya mahukan pengiktirafan terhadap pelbagai isu yang telah lama membelenggu kehidupan mereka.

Daripada kemiskinan komuniti estet, peluang pendidikan, akses kepada pekerjaan hinggalah isu rumah ibadat, semuanya menjadi sebahagian daripada naratif perubahan yang akhirnya diterjemahkan melalui peti undi.

Antara isu yang paling meninggalkan kesan ialah polemik membabitkan kuil Hindu, bagi sebahagian masyarakat India, pertikaian mengenai status kuil yang didakwa dibina tanpa kelulusan atau di atas tanah tertentu bukan sekadar persoalan undang-undang.

Ia menyentuh soal penghormatan terhadap agama, sejarah serta identiti komuniti yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara.

Walaupun pelbagai usaha penyelesaian dilakukan oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu tersebut masih menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan dalam perbualan masyarakat India.

Bagi mereka, penyelesaian secara menyeluruh dan berhemah lebih penting daripada polemik yang hanya mengundang ketegangan antara kaum.

Selain itu, isu pendidikan terus menjadi tuntutan yang tidak pernah benar-benar selesai.

Penambahbaikan sekolah Tamil, kemudahan pembelajaran, peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, latihan teknikal dan vokasional serta usaha mengurangkan keciciran pelajar masih menjadi harapan sebahagian besar ibu bapa.

Dalam aspek ekonomi pula, masyarakat India hari ini berdepan cabaran yang hampir sama seperti rakyat Malaysia lain.

Kos sara hidup yang meningkat, harga barangan keperluan, peluang pekerjaan yang semakin kompetitif serta tekanan untuk memiliki kediaman sendiri kini menjadi antara kebimbangan utama, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Bagi peniaga kecil pula, kenaikan kos menjalankan perniagaan menjadi isu yang paling kerap dibangkitkan, harga bahan mentah yang meningkat, kos utiliti, sewa premis, lesen perniagaan serta pelbagai caj lain menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil walaupun ekonomi negara dilihat semakin pulih.

Golongan belia India pula semakin lantang menyuarakan keperluan kepada pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan dan gaji yang mampu menampung kos kehidupan.

Mereka mahu melihat lebih banyak pelaburan berkualiti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, bukannya sekadar angka pelaburan yang diumumkan setiap tahun.

Pada masa yang sama, masyarakat India juga berharap lebih ramai usahawan daripada komuniti itu diberi peluang menyertai rantaian ekonomi negara melalui akses pembiayaan, latihan keusahawanan, pendigitalan perniagaan serta penyertaan dalam projek-projek kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Tidak kurang penting ialah usaha menangani kemiskinan bandar yang masih membelenggu sebahagian masyarakat India.

Walaupun ramai telah berjaya keluar daripada kehidupan di estet, masih terdapat keluarga yang memerlukan perhatian dalam aspek pembangunan komuniti, latihan kemahiran, pemulihan belia berisiko serta bantuan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

 

Namun, di sebalik pelbagai cabaran itu, satu perkara yang sukar dinafikan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai tempat tersendiri dalam hati sebahagian besar masyarakat India.

Sejak era reformasi, beliau dilihat sebagai antara pemimpin yang paling lantang membawa mesej keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman, menjadikan beliau simbol harapan kepada ramai pengundi India ketika gelombang perubahan politik melanda negara.

Atas sebab itu, apabila PH membentuk Kerajaan Persekutuan dan Anwar kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri, ramai melihat ia sebagai peluang terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu yang sekian lama dibangkitkan oleh komuniti tersebut.

Bagaimanapun, selepas hampir lapan tahun PH mentadbir di peringkat Persekutuan, sentimen masyarakat India dilihat semakin matang.

Mereka tidak lagi menilai sesebuah kerajaan berdasarkan slogan atau janji pilihan raya semata-mata, sebaliknya lebih memberi perhatian kepada keberkesanan pelaksanaan dasar serta impaknya terhadap kehidupan rakyat.

Sepanjang liputan MalaysiaGazette di beberapa kawasan sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan, rata-rata pengundi India yang ditemui masih menyatakan keyakinan terhadap kerajaan PH serta kepimpinan Anwar.

Mereka mengakui beberapa inisiatif kerajaan seperti bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas, subsidi bersasar serta usaha menarik pelaburan memberi keyakinan bahawa negara berada di landasan yang lebih stabil berbanding beberapa tahun lalu.

Namun, sokongan itu hadir bersama harapan yang semakin tinggi.

Majoriti yang ditemui berpendapat kerajaan perlu menggunakan baki tempoh pentadbiran untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan dasar yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

Mereka mahu melihat lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, bantuan kepada usahawan diperkasakan, pendidikan terus dipertingkatkan, kebajikan masyarakat dipelihara dan isu rumah ibadat diselesaikan secara berhemah tanpa dipolitikkan.

Mereka juga berharap semua pihak menghentikan polemik politik yang berpanjangan. Bagi mereka, rakyat sudah terlalu lama disajikan dengan pertikaian politik sedangkan isu yang lebih dekat dengan kehidupan seperti ekonomi, kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan masih memerlukan perhatian yang serius.

Hakikatnya, masyarakat India hari ini bukan lagi pengundi yang membuat keputusan berdasarkan sentimen semata-mata.

Mereka pernah menjadi antara pencetus tsunami politik negara, namun selepas hampir dua dekad, keutamaan mereka semakin jelas.

Komuniti ini masih menghargai pemimpin yang pernah membawa harapan, tetapi ukuran sebenar kini ialah sejauh mana harapan itu diterjemahkan kepada dasar, tindakan dan hasil yang dapat dirasai oleh rakyat.

Dan, di Negeri Sembilan, sebuah negeri yang sering menyaksikan undi masyarakat India menjadi penentu di banyak kerusi, mesej itu barangkali lebih jelas berbanding sebelum ini.

Kaum India bukan lagi sekadar mengundi untuk membawa perubahan, tetapi mahu memastikan perubahan yang pernah diperjuangkan benar-benar memberi makna kepada kehidupan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast