Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menggesa kerajaan mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap dadah sintetik yang semakin membimbangkan dan disifatkan sebagai ancaman baharu kepada keselamatan negara.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, peningkatan kes membabitkan individu yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sintetik sehingga mencetuskan pelbagai insiden jenayah dan gangguan ketenteraman awam menunjukkan masalah itu tidak lagi boleh dipandang ringan.

Menurutnya, dadah sintetik kini menjadi pilihan sindiket kerana lebih mudah diproses, mempunyai kesan lebih pantas dan lebih kuat berbanding dadah konvensional, selain dipasarkan dalam pelbagai bentuk termasuk cecair rokok elektronik atau vape.

“Kerajaan perlu menjadikan usaha memerangi dadah sebagai agenda utama negara dengan memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian jenayah, bermula daripada penyeludup, pembekal dan pengedar sehinggalah kepada penagih.

“Dalam isu ini, saya percaya kita perlu bergerak bersama dan berganding bahu bermula daripada pendidikan awal di rumah, sekolah, komuniti, penguatkuasaan sehingga kepada proses rawatan serta pemulihan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Daniel berkata, beliau senada dengan gesaan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye yang mahu kerajaan menjadikan ancaman dadah sintetik sebagai agenda utama negara dengan mengambil langkah lebih drastik bagi mengekang penularannya.

Tegasnya, penyalahgunaan dadah bukan sahaja memusnahkan masa depan individu, malah memberi kesan besar kepada institusi kekeluargaan, keselamatan masyarakat dan pembangunan negara jika tidak dibendung segera.

“Ramai penagih dadah sintetik mengalami kerosakan fungsi otak sehingga berdepan masalah kesihatan mental. Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka, malah memberi tekanan emosi kepada ahli keluarga.

“Ia turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga, peningkatan kes keganasan rumah tangga, pengabaian anak serta perceraian,” jelasnya.

Beliau berkata, negara juga menanggung kerugian besar apabila kehilangan tenaga kerja produktif, selain perlu membelanjakan peruntukan yang tinggi bagi rawatan, pemulihan, penguatkuasaan dan pengurusan institusi penjara.

“Sudah tiba masanya semua pihak berhenti menuding jari dan memainkan peranan masing-masing.

“Pencegahan perlu dilakukan secara holistik daripada peringkat dasar kerajaan sehingga ke kawasan kejiranan supaya ancaman dadah sintetik dapat dibendung sebelum ia terus merosakkan generasi muda dan menjejaskan masa depan negara,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast