KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO mendakwa DAP bukan sahaja bimbang dengan penyatuan orang Melayu tetapi turut ‘alergik’ dengan nama Tanah Melayu.
Mengulas kenyataan veteran DAP, Teng Chang Kim yang menyatakan bahawa istilah “Tanah Melayu” telah berakhir selepas Perlembagaan Persekutuan diwujudkan, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, kenyataan tersebut tidak tepat kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2021 masih mengekalkan istilah “negeri-negeri Tanah Melayu” di bawah Fasal 2, Perkara 1.
“Kalau hendak buat kenyataan, semak dahulu fakta. Jangan buat kenyataan yang tidak tepat.
“Pada 2021, kerajaan Persekutuan telah meminda Perlembagaan dan memasukkan Fasal 2 yang menyatakan negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu serta negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
“Mentang-mentang baru dilantik sebagai Pengerusi GLC, konon-kononnya terpaling nak buat kenyataan. Tiba-tiba fakta salah pula,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook.
Jelas Akmal lagi, istilah “Tanah Melayu” tidak pernah digugurkan daripada Perlembagaan Persekutuan dan masih digunakan bagi merujuk kepada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia dibentuk daripada dua komponen utama iaitu negeri-negeri Tanah Melayu serta negeri-negeri Borneo, justeru dakwaan bahawa istilah berkenaan tidak lagi wujud adalah tidak benar.
Akmal mendakwa tindakan mempertikaikan penggunaan istilah “Tanah Melayu” mencerminkan sikap tidak selesa sesetengah pihak terhadap identiti sejarah negara.
“Dahlah sebelum ni kamu takut dengan penyatuan orang Melayu. Kali ni nama Tanah Melayu pun kamu takut dan kamu alergik sangat. Dah kenapa kamu ni?
“Jadi kepada semua rakyat Malaysia inilah perangai sebenar DAP yang mana mereka inilah yang suka memainkan sentimen perkauman,” katanya. – MalaysiaGazette
















