Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong.

KUALA LUMPUR – Kenyataan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim yang mendakwa nama Tanah Melayu telah berakhir selepas Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa adalah mengelirukan dan satu kesilapan.

Pakar Bahasa dan Perpaduan, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menjelaskan,  Malaysia dibentuk daripada tiga entiti iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Malaysia terdiri daripada tiga entiti, iaitu Malaya atau Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Jadi apabila kita merujuk kepada wilayah Tanah Melayu atau Malaya, itulah namanya dan ia tidak berakhir seperti yang dikatakan.

“Tanah Melayu dan Malaya masih kekal sebagai rujukan kepada apa yang kita panggil Semenanjung pada hari ini. Cuma nama Malaya dan Tanah Melayu sudah jarang digunakan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia sehingga ramai orang lupa, dan kini lebih dikenali sebagai Semenanjung,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, hujah mengenai perkara itu tidak seharusnya hanya berpandukan Perkara 1(1), sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda melalui Akta A1642 yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2022.

Menurutnya, pindaan itu mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah sejajar dengan semangat pembentukan Persekutuan Malaysia, selain memperincikan tiga kumpulan yang membentuk Persekutuan Malaysia.

“Perkara 1(2) yang dipinda menyebut tiga kumpulan iaitu negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Jadi istilah Tanah Melayu masih digunakan dalam Perlembagaan.

“Datuk Teng merujuk kepada Perkara 1(1), sedangkan Perkara 1(2) yang telah dipinda juga perlu dirujuk. Perkara 1(1) hanya menamakan Persekutuan sebagai Malaysia, manakala Perkara 1(2) menjelaskan kumpulan yang membentuk Persekutuan itu,” katanya.

Hujah beliau, istilah Tanah Melayu juga merujuk kepada wilayah di Semenanjung dan bukan kepada Malaysia secara keseluruhan.

“Apabila kita menyebut Malaysia, ia merujuk kepada sebuah Persekutuan yang terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Jadi tidak salah untuk terus menggunakan istilah Malaya atau Tanah Melayu,” katanya.

Semalam, Chang Kim menerusi hantaran di Facebook miliknya menyatakan bahawa Perkara 1(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Persekutuan hendaklah dikenali sebagai Malaysia, sambil mendakwa nama Tanah Melayu berakhir dengan berkuat kuasanya Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memuat naik tangkap layar sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan dalam hantaran berkenaan.

Bagaimanapun, hantaran tersebut dipercayai telah dipadam beberapa jam kemudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau dah buta sejarah macam² alasan digunakan..yg pelik kenapa hantaran dipadam???

Comments are closed.