SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mahu rakyat menilai rekod prestasi dan keupayaan calon bukan terpengaruh dengan dakwaan serta kempen menakut-nakutkan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya tidak bertoleransi terhadap sebarang bentuk penyelewengan atau rasuah dan fokus utama kempen PH adalah mengangkat prestasi calon serta tawaran dalam manifesto.
“Kalau kata ada kes penyelewengan rasuah, kita tidak bertoleransi. Kita pun bukan parti yang mewah. Banyak daripada fokus bagi calon-calon PH adalah atas prestasi dan keupayaan calon-calon termasuk calon Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke pejabat Biro Bernama Negeri Sembilan di sini hari ini.
Fahmi sebelum itu ditanya mengenai tiga kertas siasatan polis terhadap dakwaan kesalahan penyogokan dalam kempen PRN Negeri Sembilan sehingga semalam.
Semalam, polis menafikan dakwaan kononnya anggota pasukan itu disogok dengan wang dan diarah menyerahkan nombor siri kertas undi bagi menyokong PH pada PRN Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang aktivis politik tersebut adalah satu tohmahan.
Sebelum ini, aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa anggota pasukan beruniform termasuk polis diberikan wang antara RM300 hingga RM500 mengikut pangkat, selain diugut supaya menyerahkan nombor siri kertas undi sebagai bukti mengundi PH.
Dalam sidang media sama, Fahmi berkata, PH turut menolak dakwaan sekiranya gabungan itu menang PRN kali ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipecah-pecahkan atau berlaku proses persempadanan semula yang didakwa boleh menjejaskan kepentingan Melayu-Islam.
Menurut beliau, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya mempunyai prosedur tertentu dan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya manakala kerajaan juga sentiasa memberi perhatian bagi memastikan tidak wujud jurang terlalu besar antara DUN dalam sesebuah negeri.
“Kalau kita lihat memang sebelum ini, setiap lapan tahun proses persempadanan semula boleh dilakukan. Tapi sikap Yang Berhormat Menteri dan juga pimpinan dalam Jemaah Menteri adalah yang menjadi fokus untuk pastikan tidak berlaku jurang yang terlalu besar di antara DUN dalam satu-satu negeri.
“Dan sudah pasti kita tidak akan berkompromi dalam apa-apa perkara yang seolah-olah memberi bayangan mengurangkan kuasa Melayu-Islam,” katanya.
Fahmi menyifatkan isu berkenaan sebagai kempen tidak sihat yang cuba menakut-nakutkan pengundi sedangkan PH mempunyai rekod pencapaian yang boleh dinilai berdasarkan fakta.
“Inilah bagi saya kempen yang tidak sihat, cuba menakut-nakutkan. Walhal kita tahu mungkin sukar untuk Datuk Seri Takiyuddin mengiktiraf bahawa bawah pentadbiran Aminuddin jumlah masjid baharu yang dibina bawah kerajaan ini adalah jumlah yang paling besar.
“Jumlah kutipan zakat yang paling tinggi, jumlah pemberian elaun kepada imam sebagainya juga antara yang paling tinggi berbanding dengan zaman-zaman dulu.
“Tapi sukar kerana mungkin sikapnya hanya untuk menakut-nakutkan sebab dia tidak ada asas fakta untuk bertarung dengan pencapaian dan prestasi yang diiktiraf oleh para penduduk yang ditemu bual oleh rakan-rakan media,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kemenangan PH dalam PRN Negeri Sembilan berpotensi mengubah landskap politik negeri itu menerusi pertambahan jumlah kerusi DUN.
Katanya lagi, DUN yang mempunyai jumlah pengundi besar dan kini diwakili PH berkemungkinan dipecahkan kepada beberapa kawasan baharu pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















