LOGO BARU TABUNG HAJI
Lembaga Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mendapati pemberian bonus kepada Lembaga Pengarah dan pegawai TH Properties Sdn. Bhd. pada 2017 dan 2018 dibuat tidak mengikut peruntukan undang-undang serta melanggar Akta Syarikat 2016.

Menurut laporan RCI, TH Properties yang merupakan anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH) telah meluluskan bayaran bonus kepada 10 individu terdiri daripada dua pengarah, dua bekas pengarah dan enam pegawai kanan.

Alasannya, projek pembangunan di Australia terumata di The Bay Pavillion memberi sumbangan kewangan signifikan kepada syarikat tersebut pada tahun 2016 dan 2017.

Sehingga Disember 2016, projek yang disiapkan pada 2015 dan berjaya dijual sepenuhnya membawa pulangan AUD$11.8 juta kepada TH Properties.

Suruhanjaya mendapati beberapa orang terpilih diberikan bonus istimewa dengan jumlah RM1,148,400 pada tahun 2017 dan RM1,045,000 pada 2018.

Suruhanjaya mendapati alasan pemberian bonus itu adalah kerana pihak pengurusan berjaya memastikan operasi dan kedudukan kewangan syarikat berada pada tahap baik sehingga TH Properties merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM34.84 juta pada 2017.

Bagaimanapun, pada 2020, pengurusan TH Properties telah mendapatkan pandangan undang-undang daripada firma guaman MD. Tajuddin & Co. berhubung kesahihan bayaran bonus yang dibuat pada 2017 dan 2018.

Berdasarkan pandangan undang-undang itu, RCI mendapati kelulusan bonus yang dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) tidak mematuhi resolusi dan terma rujukan yang ditetapkan Lembaga Pengarah TH Properties pada 19 Ogos 2015.

Menurut laporan itu, Exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan melibatkan transaksi yang memerlukan kelulusan pemegang saham.

“Kelulusan bayaran bonus pada tahun 2017 didapati tidak mematuhi Memorandum and Articles of Association serta gagal memperoleh resolusi pemegang saham sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 230(2) Akta Syarikat 2016.

“Bagi pemberian bonus pada tahun 2018 pula, notifikasi kepada pemegang saham THP Australia dibuat berdasarkan resolusi Mesyuarat Agung yang dikemukakan tujuh bulan selepas resolusi Lembaga, sekali gus tidak mematuhi Seksyen 230(2) Akta Syarikat 2016,” menurut laporan itu.

RCI turut bersetuju dengan pandangan firma guaman berkenaan bahawa Lembaga Pengarah TH Properties telah melanggar Seksyen 230(2) dan Seksyen 230(4) Akta Syarikat 2016 berhubung bayaran bonus pada 2017.

Bagi bayaran bonus pada 2018 pula, suruhanjaya mendapati Lembaga Pengarah TH Properties turut melanggar Seksyen 230(3) akta yang sama.

TH Properties, yang diperbadankan pada 31 Oktober 1980, merupakan syarikat subsidiari milik penuh TH yang menjalankan aktiviti pembinaan, pembangunan hartanah, pengurusan projek serta kerja-kerja penyelenggaraan dan pengubahsuaian bangunan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

RCI dedah TH lulus bonus hingga 13 bulan gaji pada 2010-2017

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Wow…TH Property buat keuntungan sebanyak $34 juta! Terbaik laa pengurusan TH Property

Comments are closed.