Pelajar Diploma Kejururawatan UMS mengendalikan ceramah dan reruai pendidikan “Safety for Baby”.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), dengan kerjasama Universitas
Airlangga (UNAIR), Indonesia dan Klinik Kesihatan Menggatal menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Antarabangsa bagi meningkatkan
kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak dalam kalangan komuniti.

Ketua Jabatan Kejururawatan FPSK UMS, Dr. Deena Clare Thomas berkata, program yang dilaksanakan menerusi modul Community Health Nursing itu menggabungkan
pembelajaran berasaskan komuniti, khidmat masyarakat dan perkongsian kepakaran antarabangsa.

“Program ini memberi ruang kepada pelajar Diploma Kejururawatan Tahun Akhir untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran melalui pelaksanaan projek mini yang responsif terhadap keperluan kesihatan keluarga dan komuniti. Selain memperkukuh kompetensi klinikal, program ini turut membina kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan kepekaan budaya dalam kalangan pelajar,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama tersebut juga berpotensi memperluas jaringan akademik antara UMS dan UNAIR melalui penerbitan bersama, mobiliti akademik serta
permohonan geran penyelidikan luar.

Dalam pada itu, pensyarah dan Penyelaras Modul Community Health Nursing, Clarice Duasin berkata, pelajar UMS melaksanakan pendidikan kesihatan bertemakan “Safety for Baby” menerusi penerangan interaktif, demonstrasi dan reruai pendidikan yang melibatkan penyertaan ibu bapa.

Katanya, penglibatan ibu bapa penting bagi meningkatkan kesedaran tentang risiko kecederaan, keselamatan persekitaran rumah, serta langkah pencegahan yang
praktikal dalam penjagaan bayi.

“Perkongsian ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan peserta, malah memberi peluang kepada pelajar dari Malaysia dan Indonesia untuk bertukar pandangan,
pengalaman serta amalan terbaik dalam bidang kejururawatan komuniti,” katanya.

Program berkenaan turut menampilkan pensyarah UNAIR, Dr. Praba Diyan Rachmawati, yang menyampaikan ceramah bertajuk “Safe Children, Healthy Families: Empowering Mothers to Promote Child Safety and Well-Being”.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Menggatal, Dr. Ng Yoke Lan dalam ucapan ketika menyempurnakan perasmian program tersebut mengalu-
alukan kehadiran delegasi dari Indonesia dan pelajar serta pensyarah dari universiti dan agensi yang terlibat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih Klinik Kesihatan Menggatal sebagai lokasi pelaksanaan program tersebut.

“Kolaborasi seperti ini amat signifikan kerana menghubungkan institusi akademik, perkhidmatan kesihatan dan komuniti dalam usaha memperkukuh promosi kesihatan
serta kesejahteraan kanak-kanak,” ujarnya.

Program tersebut melibatkan pelajar UMS, UNAIR, Cyberjaya, pensyarah Jabatan Kejururawatan FPSK UMS serta pensyarah dari Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast