Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

TASEK GELUGOR – Seorang wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan Padang Menora di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Zuraini Jaafar, 60, yang memandu Perodua Kancil, ditemui tersepit di bahagian pemandu sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.

Bagaimanapun, wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.26 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 8.41 pagi.

Jelas beliau, setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, Perodua Axia dan Proton Saga dengan tiga mangsa terlibat.

“Dua mangsa didapati tersepit, namun seorang daripadanya dikeluarkan oleh orang awam, manakala seorang lagi yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.13 pagi namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan KKM.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk tindakan lanjut, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut John Sagun berkata, dua lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu masing-masing membabitkan pemandu Perodua Axia, Ahmad Abbas, 69, cedera ringan manakala pemandu Proton Saga, Mimi Azida Shaari, 51, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi yang membabitkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.19 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast