SEREMBAN – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat India susulan kenyataannya berhubung isu kuil disifatkan sebagai cerminan seorang pemimpin berani mengakui kesilapan dan meletakkan perpaduan negara mengatasi kepentingan politik.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman berkata, permohonan maaf itu membuktikan seorang pemimpin tidak kehilangan kewibawaan apabila mengakui kesilapan.
Malah ia memperlihatkan sifat rendah diri, akauntabiliti dan kesediaan memikul tanggungjawab terhadap setiap kata-kata serta tindakan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting itu, seperti yang dijelaskan sendiri oleh Anwar, seorang Perdana Menteri juga adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Yang paling penting ialah kesediaan untuk mengakui kesilapan itu, memperbetulkannya dan terus menghormati perasaan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“Saya menghargai sikap rendah diri yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri apabila beliau secara terbuka memohon maaf kepada masyarakat India atas pemilihan kata-kata berkaitan isu kuil yang telah menyinggung perasaan sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Papparaidu yang juga Penolong Setiausaha Pengelola DAP Selangor berkata, keberanian mengakui kesilapan bukanlah satu kelemahan, sebaliknya menjadi ukuran kepada integriti dan kematangan seseorang pemimpin.
Katanya, dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia, setiap kenyataan pemimpin sememangnya akan dinilai dengan teliti.
Namun, beliau berkata, sesuatu kesilapan yang tidak disengajakan tidak seharusnya mengatasi rekod pentadbiran serta komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian antara agama dan menghormati hak setiap komuniti.
“Komitmen kerajaan untuk memelihara keharmonian agama dan menghormati rumah ibadat setiap komuniti perlu dinilai berdasarkan tindakan dan rekod pentadbiran, bukan semata-mata disebabkan satu pemilihan kata yang tidak disengajakan.
“Sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan kebebasan beragama terus dipelihara dan rumah-rumah ibadat semua kaum diberikan penghormatan sewajarnya,” ujarnya.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu melihat isu tersebut secara lebih menyeluruh dan tidak membiarkan satu episod menenggelamkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh perpaduan nasional.
Menurutnya, sikap Anwar yang tampil memohon maaf secara terbuka wajar dihargai kerana ia menunjukkan keikhlasan untuk memperbetulkan keadaan dan menghormati sensitiviti semua pihak.
“Semoga semangat saling menghormati, persefahaman dan perpaduan terus menjadi panduan dalam usaha membina sebuah Malaysia Madani yang lebih kukuh, harmoni dan inklusif untuk semua rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















