San San melawat Azuan dan keluarganya yang dirawat di HSI, Johor Bahru selepas rumah mereka terbakar.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa sanggup menggadaikan nyawa mencari anak kecilnya yang terperangkap dalam kebakaran di rumah sewanya di Taman Kota Puteri, Masai di sini kelmarin.

Menceritakan detik cemas itu, Muhamad Azuan Hassan, 34, tiada apa yang difikirkan ketika itu selain terus mencari dan menyelamatkan anaknya sehingga ditemui dalam kejadian pukul 4 pagi itu.

Dia berkata, kejadian tersebut berlaku semasa mereka sekeluarga sedang tidur nyenyak di tingkat dua rumah teres itu sebelum anak kedua lelaki berusia lima tahun mengejutkan isterinya selepas terhidu asap.

Katanya, pada awalnya keluarganya gagal menyelamatkan diri kerana kesemua ruangan rumah itu dipenuhi asap tebal.

“Dalam sekelip mata asap semakin menebal, penglihatan kabur dan kami hampir sesak nafas. Saya memeluk kesemua mereka dan minta reda sekiranya ada sesuatu yang berlaku kerana buntu cara menyelamatkan diri.

“Isteri kemudian meminta saya untuk mencari tingkap di bilik sebelum dia berjaya memecah tingkap berkenaan.

“Mereka bergerak keluar dari tingkap bilik tidur ke bumbung awning sebelum memasuki rumah jiran,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Chan San San di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Muhamad Azuan berkata, walaupun isteri dan anak berjaya menyelamatkan diri, dia cemas apabila tidak menemukan anak bongsu lelakinya berusia tiga tahun yang masih terperangkap dalam bilik berkenaan.

“Dua kali saya redah asap tebal dan bahang ketika memasuki bilik itu namun tidak dapat menemukan Aziz. Keadaan semakin buruk, saya meminta bantuan jiran namun mereka juga tidak mampu membantu kerana amat berisiko. Saya nekad memasuki semula bilik tidur itu serta mendengar tangisan Aziz, saya terus mencarinya.

“Saya tidak nampak apa-apa melainkan dengar tangisannya, saya nekad mencarinya dalam asap tebal walaupun dua kali gagal. Alhamdullilah akhirnya saya berjaya selamatkannya,” katanya.

Muhamad Azuan berkata, akibat kejadian itu mereka sekeluarga terpaksa mendapatkan rawatan di HSI selama sehari.

Menurutnya, doktor juga memantau paru-paru anak bongsunya kerana terdedah kepada asap tebal dalam kejadian.

“Buat masa ini Aziz masih dalam trauma dipercayai kerana terperangkap kira-kira 15 minit dalam bilik itu. Kami menumpang sementara di kediaman kakak serta dijangka akan berpindah ke rumah transit di Pasir Gudang sementara usaha membaik pulih rumah yang terbakar.

“Kami difahamkan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban Muhamad Azuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 683-647-0819.

Sementara itu, San San berkata, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan yang mengalami musibah.

“Kami sudah mengatur penempatan sementara bagi keluarga berkenaan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast