Abdul Azeez Abdul Rahim

JELEBU – Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) , Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan tiada sebarang salah guna dana atau ‘sakau’ berlaku sepanjang beliau menerajui institusi itu, malah bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya perlu disiasat semula.

Bekas Ahli Parlimen Baling daripada UMNO itu itu berkata, beliau telah melalui pelbagai proses siasatan termasuk oleh (SPRM), polis serta audit forensik selepas pertukaran kerajaan pada 2018, namun menegaskan tiada sebarang bukti penyelewengan ditemui.

“Siasatan dah habis pada 2021, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Datuk Seri Azam Baki, (kini Tan Sri) telah mengeluarkan surat rasmi bahawa tidak ada sakau, tidak ada salah guna.

“Tiba-tiba sekarang, dekat-dekat pilihan raya pula kata ada sakau dan macam-macam lagi, diumumkan dua hari sebelum pilihan raya (Negeri Sembilan) ini bukan (isu) Tabung Haji, ini ada benda-benda lain.

“Kalau nak siasat sekali lagi, silakan (dan) saya orang pertama akan memberi kerjasama yang padu dan jitu. Kalau saya curi saya tanggunglah tapi janganlah diulang ayat sakau, sakau, sakau tapi tiada pun tindakan,”tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan Tabung Haji yang kembali menjadi perhatian menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Terdahulu, beliau membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut Abdul Azeez, sekiranya benar beliau melakukan penyelewengan, tindakan undang-undang sudah lama diambil ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kalau saya sakau, pada 2018 Tun Dr. Mahathir dah penjarakan saya dah. Saya dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dikatakan pemimpin UMNO itu tiada sakau,” katanya.

Mengulas cadangan RCI supaya audit forensik dilaksanakan untuk meneliti transaksi mencurigakan dan pelaburan yang lemah,
Abdul Azeez berkata semua perkara itu telah melalui audit forensik dan siasatan sebelum ini.

“Audit forensik dah buat sebelum ini, polis dah siasat 11 kali saya pergi. SPRM (tahan) 14 malam saya tidur dalam lokap, habis semua ditanya.

“Saya tanya polis dua minggu lalu, mereka kata tak ada. Mereka kata fail ini kami kemas untuk disimpan. Tak ada apa, kami tunggu arahan untuk NFA (tiada tindakan lanjut). Wallahi, ini yang polis cakap dengan saya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/07/30/rci-tabung-haji-4-laporan-polis-dibuat-di-antara-2018-dan-2019/

https://malaysiagazette.com/2026/07/30/larang-ahli-politik-pegang-jawatan-dalam-tabung-haji-antara-25-syor-dikemuka-rci/

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya beliau mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan pelaburan ketika menjadi Pengerusi Tabung Haji.

Sebaliknya, katanya, setiap keputusan dibuat mengikut proses tadbir urus yang melibatkan pengurusan tertinggi, panel pelaburan, jawatankuasa pengurusan risiko, Lembaga Pengarah serta memerlukan kelulusan menteri yang bertanggungjawab.

“Saya bukan pengerusi eksekutif. Saya pengurusi biasa Sebulan sekali kami bersidang, pengurusan tertinggi bentangkan kertas kerja dan laporan dan elepas kami lihat sokongan daripada panel pelaburan dan pengurusan risiko, barulah kita setuju bawa kepada menteri untuk kelulusan.

“Jadi rakyat kena tahu proses itu. Tak adalah Azeez Rahim boleh pergi sakau semua ambil. Saya bukan pengerusi eksekutif. Saya hanya mempengerusikan mesyuarat dan membuat keputusan berdasarkan proses yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez menggesa orang ramai membaca keseluruhan laporan RCI sebelum membuat sebarang kesimpulan serta tidak membiarkan isu berkenaan dipolitikkan sehingga mengelirukan pendeposit Tabung Haji. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast