Tabung Haji.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mendapati sebanyak empat laporan polis dibuat di antara 2018 dan 2019 berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan dalam agensi tersebut termasuk melibatkan isu manipulasi tanah di Kalimantan, Indonesia.

Menurut laporan suruhanjaya, dua laporan polis dibuat pada 30 November 2018 manakala satu laporan masing-masing pada 13 Disember 2018 dan 16 Januari 2019.

Sehubungan itu, RCI berpandangan, pihak-pihak berkuasa wajib mengambil tindakan yang tegas dan segera ke atas setiap laporan dan aduan yang dikemukakan.

Dua laporan awal dibuat oleh pengadu, Idrus Ismail ketika itu Setiausaha Syarikat Lembaga Tabung Haji (LTH) berhubung dakwaan penganjuran aktiviti menggunakan wang Yayasan Tabung Haji yang didakwa menyalahi `Memorandum and Articles of Association) yayasan itu.

“Suruhanjaya difahamkan polis telah melengkapkan siasatan dan merujuknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk arahan pendakwa raya,” demikian menurut laporan setebal 252 muka surat ditandatangani pada 19 Julai 2022 yang didedahkan kepada umum semalam.

Laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji dari 2014 hingga 2020 itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

Laporan suruhanjaya itu turut menyatakan, laporan polis kedua pada 30 November 2018 dibuat berhubung tindakan LTH menjual pegangan ekuitinya dalam PT TH Indo Plantations (THIP) kepada PT Borneo Pacific.

THIP merupakan salah satu projek pelaburan ladang luar negara milik TH di Indonesia

Ia melibatkan dakwaan berlaku salah nyataan (misrepresentation) dan penyembunyian maklumat berkaitan penjualan pegangan 95 peratus saham oleh LTH dalam THIP pada 2012 kepada PT Borneo Pacific berjumlah AS$910 juta.

“Suruhanjaya difahamkan, siasatan polis masih berterusan bagi merekodkan kenyataan saksi-saksi serta mendapatkan dokumen di Indonesia.

“Namun suruhanjaya mengambil maklum kekangan yang mengambil masa agak lama kerana ia melibatkan proses siasatan rentas sempadan yang memerlukan polis menghormati proses dalaman dan kedaulatan Indonesia bagi mendapatkan persetujuan pihak berkuasa republik itu untuk menjalankan siasatan di sana,” ujarnya.

Suruhanjaya selanjutnya menyentuh laporan polis ketiga yang dibuat oleh Aliatun Mahmud ketika itu Setiausaha Trurich yang mendakwa agensi itu memasuki perjanjian pembelian saham dengan tiga syarikat di Indonesia bagi memiliki tanah di Kalimanan Utara dan dua syarikat di Indonesia yang menanam kelapa sawit di Kalimantan Tengah.

Laporan polis itu dibuat terhadap beberapa individu yang didakwa mewujudkan manipulasi laporan kesesuaian tanah bagi menjustifikasi potensi tanah seluas 40,880 hektar merangkumi ladang-ladang di Kalimantan Utara dan Tengah.

Tindakan individu terlibat didakwa mengelirukan Trurich sehingga membuatkannya meluluskan untuk memperoleh ladang kelapa sawit yang bernilai sekitar AS$58 juta dalam tempoh di antara 2008 dan 2009.

Menurut dapatan RCI, Idrus turut membuat laporan polis keempat berhubung isu pemberian atau pengisytiharan untung boleh agih (hibah) LTH bagi tahun kewangan berakhir 2017 yang bercanggah dan melanggar peruntukan Seksyen 22 Akta 535.

Suruhanjaya mendapati, wujud salah nyataan dalam dua kertas kerja yang dibentangkan pada Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah LTH pada 6 dan 9 Februari 2018 sehingga LTH mengisytiharkan hibah yang tinggi kepada para pendeposit bagi tahun kewangan berakhir 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast