KEMUNCULAN teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif seperti ChatGPT, Gemini dan Microsoft Copilot sedang mengubah landskap pendidikan tinggi. AI bukan lagi sekadar teknologi baharu, malah telah menjadi sebahagian daripada rutin pembelajaran pelajar universiti. Dari sudut positif, mereka menggunakannya untuk memahami konsep yang kompleks, mendapatkan idea bagi tugasan, memperbaiki penulisan, menghasilkan kod pengaturcaraan serta meneroka pelbagai bidang ilmu dengan lebih pantas.
Perkembangan ini turut mempengaruhi cara pelajar belajar, berfikir dan menyelesaikan tugasan. Justeru, perubahan ini tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman. Sebaliknya, AI mampu mempercepatkan proses pembelajaran dan membuka peluang kepada pelajar menguasai pelbagai kemahiran baharu. Persoalan yang lebih penting bukan lagi sama ada AI patut digunakan, tetapi bagaimana AI dimanfaatkan untuk meningkatkan nilai tambah seseorang pelajar.
Namun begitu, di sebalik segala manfaat tersebut, muncul satu cabaran yang tidak boleh dipandang remeh. Masih terdapat pelajar yang menggunakan AI secara pasif dengan menerima bulat-bulat kandungan yang dijana tanpa menyemak fakta, memahami hujah atau menilai kesesuaiannya. Pendekatan sebegini mungkin membantu memperoleh markah yang tinggi, namun gagal membina pengetahuan, pemikiran kritis dan keyakinan diri yang diperlukan apabila memasuki alam pekerjaan.
Sebaliknya, AI sepatutnya menjadi rakan pembelajaran. Bagi mereka yang kurang yakin bertutur dalam bahasa Inggeris, misalnya, AI boleh dijadikan rakan perbualan untuk berlatih setiap hari. Penguasaan bahasa Inggeris semakin penting, khususnya apabila banyak syarikat memerlukan pekerja yang mampu berkomunikasi dengan pelanggan, rakan niaga
dan organisasi di peringkat antarabangsa. Begitu juga bagi mereka yang ingin mempelajari pengaturcaraan, analisis data, pembangunan aplikasi atau kemahiran digital yang lain. Jika dimanfaatkan dengan betul, AI bukan sekadar menyokong proses pembelajaran, malah mempercepatkan pembangunan kompetensi yang diperlukan oleh industri.
Namun begitu, terdapat satu realiti yang sering terlepas pandang. Semakin ramai pelajar berpotensi memperoleh keputusan akademik yang cemerlang kerana mempunyai akses kepada teknologi yang sama. Akibatnya, jurang pencapaian akademik antara graduan semakin mengecil. Dalam keadaan ini, CGPA yang tinggi masih penting, tetapi bukan lagi faktor utama yang membezakan graduan.
Malah, menurut Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum, antara kemahiran yang semakin mendapat perhatian majikan ialah pemikiran analitikal, daya tahan, fleksibiliti, kepimpinan, kreativiti, pembelajaran sepanjang hayat serta literasi teknologi. Ini menunjukkan bahawa majikan kini semakin menghargai gabungan kemahiran insaniah dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, berbanding pencapaian akademik semata-mata.
Apabila tiba sesi temu duga, majikan bukan sahaja menilai transkrip akademik. Sebaliknya, mereka turut mencari calon yang mampu berkomunikasi dengan yakin, berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah, bekerja dalam pasukan, memimpin, menyesuaikan diri dengan perubahan serta mempunyai etika kerja yang baik. Selain itu, keupayaan untuk mempelajari
perkara baharu dengan pantas turut menjadi ciri yang semakin dihargai oleh majikan.
Kemahiran inilah yang semakin bernilai dalam era AI kerana ia tidak dapat dibangunkan hanya dengan menyiapkan tugasan menggunakan teknologi. Oleh itu, pelajar perlu mengubah perspektif terhadap AI. Daripada bertanya, "Bagaimana AI boleh membantu saya menyiapkan tugasan?", mereka sepatutnya bertanya,”Bagaimana AI boleh membantu saya menjadi graduan yang lebih berdaya saing, berkemahiran, dan mempunyai nilai tambah?. Perubahan cara berfikir ini akan menentukan sama ada AI menjadi sekadar alat untuk memperoleh markah atau pemangkin kepada pembangunan diri.
Akhir sekali, dalam era AI, kelebihan sebenar bukan terletak pada siapa yang paling mahir menggunakan AI, tetapi pada siapa yang paling bijak memanfaatkannya untuk menguasai ilmu, membangunkan kemahiran dan mencipta nilai tambah yang diperlukan oleh industri. Graduan inilah yang akan menjadi pilihan majikan serta kekal relevan dalam dunia
pekerjaan pada masa hadapan.
Dr. Muhamad IzaidiĀ Ishak
Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Bidang kepakaran beliau meliputi pemasaran, tingkah laku pengguna dan online consumer reviews (ulasan pengguna dalam talian).
















