Fadhlina memuat naik gambar ini dalam coretan beremosi hari ini.

SEREMBAN –  Dakwaan Kerajaan Madani tidak melakukan apa-apa untuk masyarakat India hanyalah naratif politik yang tidak berasaskan fakta, kata Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan termasuk membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar cemerlang tanpa mengira kaum selain menyelesaikan isu yang sekian lama membelenggu masyarakat India.

Dalam hantaran di laman sosialnya hari ini, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau memilih untuk menjawab dakwaan berkenaan dengan fakta, bukannya persepsi.

“Sering kali kita dengar dakwaan bahawa Kerajaan Madani tidak memberi apa-apa kepada masyarakat India. Benarkah? Itu naratif yang sering dimainkan pihak lawan. Sebab itu saya memilih untuk bercakap berdasarkan fakta, bukan persepsi,” katanya.

Beliau berkata, ketika menghadiri Program Kenduri Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung India baru-baru ini, beliau bukan sahaja turun memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chuah, Yew Boon Lye malah mengambil peluang menjelaskan pelbagai usaha kerajaan kepada masyarakat.

Fadhlina berkata, antara langkah paling signifikan ialah keputusan kerajaan menawarkan kemasukan automatik ke Program Matrikulasi kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, dasar itu memberi jaminan peluang pendidikan yang lebih adil kepada pelajar cemerlang tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Selama bertahun-tahun, ramai ibu bapa dalam masyarakat India hanya mengharapkan satu perkara, iaitu peluang pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

“Ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang, namun masih bimbang sama ada mereka akan mendapat tempat untuk menyambung pengajian. Kerajaan Madani berani mengubah keadaan itu,” ujarnya.

Mengulas isu pendidikan di Negeri Sembilan, Fadhlina berkata, antara keutamaan beliau sebaik dilantik sebagai Menteri Pendidikan ialah menyelesaikan masalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sagga.

Katanya, bangunan sekolah berkenaan telah siap dibina bertahun-tahun tetapi gagal digunakan sebelum isu keselamatan berjaya diselesaikan pada September 2024.

“Hasilnya, sekolah itu kini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid dan masyarakat setempat seperti yang sepatutnya,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada semua rakyat kerana perubahan sebenar tidak boleh dicapai hanya melalui slogan atau retorik politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast