KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan Surat Tuntutan (LOD) saman fitnah berjumlah RM5 juta telah pun berjaya diserahkan kepada pihak yang melempar fitnah terhadapnya.
Menurutnya, perkembangan terbaharu laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum secara jelas membuktikan dirinya tidak bersalah mahupun terlibat seperti yang ditohmah oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.
“Alhamdulillah kebenaran terbukti.
“Saman RM5 juta bakal menanti. LOD telahpun berjaya diserahkan kepada pemfitnah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut mengenai tindakan undang-undang berkenaan, Asyraf Wajdi menegaskan tidak akan bertolak kompromi dalam mempertahankan maruah dan reputasinya yang terjejas akibat tuduhan melulu di media sosial.
Tindakan undang-undang berkenaan difailkan menerusi peguam Datuk Adenan Seman terhadap dua individu iaitu Ahli Majlis Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Ismail Salleh dan pemilik akaun media sosial Abied Abdullah, Habin Faisal Mohamed.
Menerusi hantarannya, Asyraf Wajdi mengulangi komitmennya jika memenangi tindakan saman berkenaan, kesemua wang ganti rugi yang diperoleh tidak akan diambil walau satu sen pun untuk kegunaan peribadi.
“Janji saya, insya-ALLAH setiap sen wang ganti rugi akan diinfaqkan kepada Yayasan Pelajaran MARA untuk maanfaat pelajar miskin,” katanya lagi.
Terdahulu, isu berkenaan mencuri perhatian apabila dakwaan mengaitkan pimpinan politik dengan pengurusan TH sebelum kerajaan membuat keputusan untuk mendedahkan laporan RCI TH secara telus bagi merungkai segala spekulasi yang timbul. -MalaysiaGazette
















