Tabung Haji. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mendedahkan, wujudnya pelaburan bermasalah, transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat dilakukan oleh anak syarikat agensi itu.

Menurut laporan suruhanjaya yang diterbitkan semalam, proses membuat keputusan pelaburan oleh TH (ketika itu dinamakan Lembaga Tabung Haji) tidak teratur.

Laporan itu menyebut, tiada koordinasi di antara Ketua Pegawai Pelaburan (CIO), Ketua Kewangan Korporat (CF), Ketua Pegawai Hartanah dan Ketua Bahagian Perbendaharaan menyebabkan aliran proses pelaburan menjadi tidak jelas.

Sehubungan itu, RCI mencadangkan audit forensik dilaksanakan terhadap 14 buah syarikat bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan lalu dibuat sehingga menyebabkan LTH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Syarikat-syarikat itu termasuk PT TH Indo Plantations (THIP), Emrail Sdn. Bhd., Putrajaya Perdana Berhad dan FGV Berhad (FGV).

Menurut laporan tersebut, permasalah dalam THIP menyebabkan berlaku pemindahan syer syarikat itu kepada pembeli sebelum menerima bayaran penuh.

Selain itu, suruhanjaya turut mendapati, terlalu banyak lapisan dan pertimbangan pada setiap peringkat pembuatan keputusan.

Oleh yang demikian, suruhanjaya berpandangan, setiap anggota lembaga, lembaga pengarah, anak syarikatnya, pengurusan dan kakitangannya dipertanggungjawabkan atas kerugian LTH.

“Sepatutnya tindakan sedemikian boleh menghasilkan satu keputusan pelaburan yang baik. Namun perkara ini tidak berlaku.

“LTH disaran memfokus kepada portfolio pengurusan dana dan tidak seharusnya terlibat dalam pelaburan berisiko tinggi khususnya pelaburan yang diklasifikasikan sebagai strategik oleh agensi itu,” demikian menurut laporan setebal 252 muka surat bertarikh 19 Julai 2022 yang didedahkan kepada umum semalam.

Laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji LTH) dari 2014 hingga 2020 itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast