Temubual SkopMG bersama YB Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang dan YB Datuk Azman Nasrudin, Ahli Parlimen Padang Serai di Studio Malaysia Gazette (MG), Bandar Sri Permaisuri , Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN , 20 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja yang didapati bersalah dalam isu salah urus kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu bersedia diheret ‘secara berjemaah’ ke muka pengadilan, demikian menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan perundangan yang tegas, memandangkan ia melibatkan dana jutaan pendeposit Islam yang mengumpul wang demi menunaikan rukun Islam kelima.

“Saya tidak menuduh mana-mana individu secara khusus dan menyerahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa serta Peguam Negara untuk menjalankan siasatan secara telus.

“Negara kita negara hukum. Tidak boleh dengan satu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ini semuanya terus diheret ke mahkamah dan disumbat ke penjara, tidak begitu.

“Sesiapa yang mungkin dituduh nanti belum tentu bersalah dan mereka ada hak untuk membela diri,” katanya dalam satu rakaman video berdurasi 24 minit dan 45 saat itu.

Beliau berkata, siasatan berkaitan perkara ini perlu dilakukan secara telus.

“Kalau ada kes prima facie, barulah dibawa ke mahkamah, tetapi dengan sedikit pengalaman undang-undang yang ada, saya melihat mereka yang bertanggungjawab ini ramai dan boleh diheret secara berjemaah.

“Ini duit orang ramai, duit penoreh getah, penanam padi, nelayan serta kakitangan kerajaan.

“Siapa-siapa mereka? Saya tak nak sebut nama spesifik. Nanti boleh dituduh memfitnah ke apa, mendahului SPRM, mendahului Peguam Negara.

“Hanya saya sebut. Mereka ini ialah yang ada kemungkinan telah melakukan kesalahan iaitu CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) pada waktu itu, ataupun Managing Director (Pengarah Urusan) Tabung Haji pada waktu itu. Jawatanlah, saya sebut jawatan.

“Tanggungjawabnya bukan mudah bila pegang jawatan tinggi-tinggi ni, yang akan boleh dituduh, jika ada bukti-bukti lebih lanjut ialah Group Chief Financial Officer Ketua Pengarah Kewangan Kumpulan, dalam ringkasnya CFO.

“Siapa lagi? Tak lain tak bukan ialah Pengerusi Tabung Haji pada waktu itu. Kalau tahun 2017 tu… kemungkinanlah, belum tentu bersalah ni,” katanya lagi.

Jelas beliau, golongan profesional dan ahli politik yang memegang jawatan tinggi sewaktu kejadian wajar dipertanggungjawabkan atas sebarang keputusan yang melanggar undang-undang statutori.

“Kita tidak tuduhlah telah melakukan kesalahan ini, belum tentu bersalah.

“Mereka boleh bela diri, Pengerusi Tabung Haji waktu itu. Adakah mereka sahaja? Tidak. Ramai lagi. Yang lain itu ialah board members, ahli-ahli lembaga Tabung Haji. Dan juga senior officer, pegawai-pegawai kanan dalam Tabung Haji itu.

“Kenapa mereka ini pun mungkin dituduh? Sebab mereka ini orang pandai-pandai, jawatan besar-besar.

“Mereka tahu apa yang mereka telah lakukan itu. Mereka tanda tangan dokumen, mengesahkan kertas kerja, membenarkan pembayaran-pembayaran yang haram sebenarnya, yang melanggar tanggungjawab statutori.

“Ini orang hebat-hebat. Kebanyakan ni antaranya orang-orang politik, cergas politik, aktif sebagai politician pada waktu itu.

“Itulah bahayanya. Ada sebahagiannya orang politik, sebahagiannya profesional yang telah melakukan kesalahan-kesalahan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hassan berkata, peruntukan undang-undang yang boleh dirujuk oleh pihak polis dan pendakwa raya adalah Seksyen 22(3) Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Apa yang disebut dalam Seksyen 22(3) Akta Tabung Haji ini? Ia melarang sekeras-kerasnya Tabung Haji daripada mengisytiharkan atau membayar sebarang dividen, pengagihan keuntungan atau hibah sekiranya aset harta Tabung Haji kurang daripada liabiliti atau tanggungannya.

“Jadi kalau aset lebih rendah daripada liabiliti, memang tak boleh beri dividen atau hibah.

“Tetapi bacalah laporan RCI itu, pada tahun 2017 hibah dan dividen tetap dibahagikan dengan peratusan tertentu, maklumlah tahun 2018 nak ada Pilihan Raya Umum.

“Ini persepsi, tapi kita balik kepada fakta,” katanya.

Tambahnya, selain Seksyen 22(3), Seksyen 39 di bawah Akta 535 juga boleh dirujuk berkaitan kesalahan-kesalahan umum yang memperuntukkan bentuk penalti serta denda bagi perlanggaran berkenaan.

Jelasnya lagi, pendedahan laporan kewangan TH pada tahun 2017 menunjukkan wujud jurang kewangan yang amat besar berikutan tindakan menyembunyikan kedudukan sebenar akaun institusi itu.

“Laporan kewangan 2017 merekodkan keuntungan RM3.4 bilion sedangkan hakikatnya TH mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion, sekali gus memperlihatkan jurang perbezaan sebanyak RM4.8 bilion.

“Selain Akta Tabung Haji, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menggunapakai peruntukan Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Ini merangkumi Seksyen 477A bagi kesalahan memalsukan akaun yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, Seksyen 417 dan 420 bagi kesalahan menipu serta Seksyen 409 berkaitan Pecah Amanah Jenayah (CBT) yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga 20 tahun, sebat dan denda,” ujarnya.

Hassan dalam pada itu memuji ketegasan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Persekutuan yang menunaikan janji mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum serta membentangkannya di Dewan Rakyat untuk dibahaskan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast