Gambar hiasan.

KLUANG – Seorang pelajar kolej lelaki berusia 19 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi perempuan yang ditemukan dengan kesan tikaman dalam mangkuk tandas di Taman Setia Mutiara di sini semalam.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Kluang pagi tadi bagi tempoh bermula hari ini hingga 5 Ogos depan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

Menurut beliau, wanita berusia 19 tahun yang dipercayai melahirkan bayi tersebut masih menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini selepas turut melahirkan seorang lagi bayi ketika mendapatkan rawatan.

 

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/07/30/pasangan-pelajar-kolej-ditahan-kes-tikam-buang-bayi-dalam-mangkuk-tandas/

 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 315 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang dilakukan dengan niat menghalang anak daripada dilahirkan hidup atau menyebabkan kematiannya selepas dilahirkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, polis menahan pasangan pelajar kolej terbabitmasing-masing berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkemaan.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan kejadian itu pukul 1 tengah hari semalam memaklumkan seorang pelajar perempuan dimasukkan ke HEBHK kerana dipercayai baru melahirkan anak.

“Sebaik pelajar berusia 19 tahun itu melahirkan bayi berkenaan, dia telah menghubungi gurunya sebelum dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar itu telah melahirkan seorang bayi selain mendapati terdapat satu lagi bayi perempuan dalam kandungannya,” ujar Ab Rahman dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast