TAMPIN – Barisan Nasional (BN) menyifatkan situasi ‘hujan lebat’ atau politik wang disyaki dilakukan parti lawan kepada pengundi pada saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai petanda mereka semakin terdesak.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendesak polis mengambil tindakan segera berhubung taktik kotor itu yang mungkin berpunca selepas melihat momentum kempen BN dan rakan kerjasama semakin positif menjelang hari pengundian.
“Di pusingan terakhir ini, momentum alhamdulillah semakin meningkat dan istiqamah daripada segi kaedah kempen semakin mantap.
“Maka ini telah menimbulkan kekhuatiran pihak di sebelah sana, saya tidak mahu membuat tuduhan tetapi dalam keadaan yang sangat terdesak ini pelbagai taktik di akhir pusingan telah berlaku,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas hadir sesi libat urus bersama pimpinan masyarakat Negeri Sembilan 2026 di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas dakwaan yang sebelum ini dibangkitkan oleh Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai kejadian politik wang iaitu pemberian wang kepada pengundi.
Menurutnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja menyalahi etika berkempen malah tidak dibenarkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Laporan polis telah dibuat berserta bukti dan saksi sambil berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Kempenlah dengan cara yang berhikmah cara yang baik (dan) timbulkan isu yang bersesuaian dengan hasrat pengundi serta berikan penjelasan dengan penuh kesantunan politik,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin mendakwa pihaknya menerima maklumat terdapat beberapa individu yang didakwa menerima tawaran secara terus daripada individu yang disifatkannya sebagai ‘broker politik’ yang dihantar oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kegiatan itu masih berterusan terutama di beberapa kawasan termasuk Kuala Pilah dan Jempol dan tindakan berkenaan mencabuli proses pilihan raya,” katanya.
Pada masa sama, Jalaluddin turut mendakwa terdapat pihak yang cuba membangkitkan sentimen kebencian terhadap BN melalui pemasangan kain rentang berunsur provokasi.
Tindakan itu, menurutnya boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta mewujudkan ketegangan di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette
















