SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin gabungan itu mampu mempertahankan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok hasil prestasi pentadbiran kerajaan negeri dan kempen yang dijalankan sepanjang tempoh berkempen.
Menurut Perdana Menteri, keyakinan itu bagaimanapun tidak bermaksud PH mengambil mudah saingan daripada parti lawan, sebaliknya seluruh jentera akan terus bekerja sehingga saat akhir bagi memastikan sokongan rakyat diterjemahkan kepada undi.
“Kita, insya-Allah, kerja sebaik mungkin dan insya-Allah, kita yakin dapat capai kemenangan,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, hari ini.
Menurut Anwar, fokus utama ketika ini ialah memastikan proses pengundian berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan mendapat kerjasama semua pihak.
“Yang penting, kita tumpu. Selepas itu, biar keadaan terkawal baik, kerjasama dengan semua pihak,” katanya.
Mengulas pertanyaan mengenai jumlah kerusi yang mampu dimenangi PH, Pengerusi PH itu enggan membuat sebarang ramalan dan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pengundi.
“Itu kena tanya Aminuddin Harun,” katanya.
Beliau sebelum ini turut mengingatkan bahawa keputusan pilihan raya tidak ditentukan oleh kajian atau ramalan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan rakyat yang keluar mengundi.
PRN Negeri Sembilan ke-16 melibatkan pertandingan bagi semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan terawal bagi PRN di Negeri Sembilan esok, akan mula diketahui seawal jam 10 malam.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya juga meletakkan sasaran untuk memperoleh keputusan penuh proses pengundian tersebut sebelum jam 12 tengah malam. – MalaysiaGazette
















