Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Pusat Bandar Senawang Taipan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) meluahkan rasa sedih melihat landskap politik semasa yang menurutnya semakin dipengaruhi sentimen perkauman demi meraih sokongan pengundi.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, politik berasaskan perkauman bukan sahaja tidak menyatukan rakyat, malah boleh memecah-belahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang telah lama dibina di negara ini.

Menurutnya, suatu ketika dahulu rakyat Malaysia yang berbeza kaum dan agama mampu hidup dalam suasana harmoni tanpa dipengaruhi sentimen kebencian.

“Bang Mat rasa sedih tengok politik hari ini. Dulu, walaupun kita berbeza kaum dan agama, kita boleh duduk semeja, minum kopi dan hidup aman.

“Hari ini, ada pula yang sengaja meniup sentimen perkauman semata-mata nak dapat undi. Politik macam ini bukan menyatukan rakyat, tetapi memecah-belahkan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, seluruh rakyat Malaysia tertakluk dan bernaung di bawah Perlembagaan Persekutuan serta institusi Yang di-Pertuan Agong yang sedia ada menjamin kedudukan Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan politik yang menggunakan sentimen perkauman untuk menimbulkan ketakutan.

Beliau turut menegaskan, masalah utama negara bukan berpunca daripada perbezaan kaum, sebaliknya berkaitan isu amanah dan integriti dalam pentadbiran.

Sebagai contoh, katanya, isu pengurusan Tabung Haji membuktikan bahawa pengkhianatan dan amanah tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu kaum.

“Tengok sahaja apa yang berlaku dalam isu Tabung Haji. Yang mengkhianati amanah itu orang Melayu. Yang berusaha membetulkannya pula pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan seperti Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Lim Guan Eng.

“Ini bukti bahawa amanah tidak mengenal kaum, dan pengkhianatan juga tidak mengenal kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggesa budaya menukar kerajaan atau “tebuk atap” dihentikan kerana hanya mengganggu usaha membangunkan negara serta menjejaskan kebajikan rakyat.

Menurutnya, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi memastikan pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan kebajikan masyarakat dapat diteruskan.

Beliau turut menjadikan pentadbiran Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai contoh kerajaan yang stabil, bersih dan berintegriti.

“Alhamdulillah, di bawah kepimpinan Tok Min, Negeri Sembilan membuktikan bahawa pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti mampu membawa kemajuan. Negeri terus membangun, kebajikan rakyat terus dijaga dan syiar Islam terus diperkasakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 1 Ogos dengan memilih Pakatan Harapan bagi mengekalkan kestabilan pentadbiran dan menolak politik kebencian serta perpecahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast