Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyantuni pengundi bagi membantu kempen calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar merayu pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok, memberikan peluang kepada Pakatan Harapan meneruskan pentadbiran cemerlang di negeri itu.

Menurutnya, para pengundi perlu membuat pertimbangan dengan menilai rekod dan prestasi kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bukannya bersandarkan kepada sentimen politik semata-mata.

Jelas beliau, pentadbiran Aminuddin berjaya mencatatkan hasil negeri yang tinggi selain menarik pelaburan yang memberangsangkan yang kemudiannya disalurkan semula bagi tujuan kebajikan rakyat.

“Sejak awal tumpuan pentadbiran Tok Min adalah supaya hasil negeri dapat ditingkatkan supaya dana itu boleh digunakan misalnya bagi tujuan pendidikan dari selepas lahir hinggalah anak-anak negeri ini melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyantuni pengundi bagi membantu kempen calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2026.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran berkempen di sekitar bangunan Arked MARA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut berharap pengundi di DUN Sri Tanjung turut memberi sokongan kepada Rajasekaran bagi memastikan kerusi itu kekal kepada PH.

Ujarnya, ia juga bagi membolehkan DUN Sri Tanjung menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri bersama-sama kemenangan kerusi lain pada hari pengundian esok.

Sementara itu, ditanya berkenaan keyakinannya terhadap kemampuan PH memenangi PRN esok, Nurul Izzah berkata, beliau kekal optimis sokongan pengundi akan memihak kepada gabungan parti itu.

“Saya optimis dan dalam masa sama kita terus berusaha serta berdoa dan bertawakal.

“Sebab niat kita adalah untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan dan kita tawarkan mereka prestasi kita sepanjang mentadbir negeri ini sebagai pertimbangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast