SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) dijangka terus mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, dengan DAP berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan sebahagian besar kerusi yang ditandinginya.
Manakala PKR pula berpotensi memenangi enam kerusi sekiranya kadar keluar mengundi melepasi 70 peratus sebelum jam 4 petang.
Menurut sumber tertinggi DAP, empat kerusi iaitu Mambau, Bukit Kepayang, Bahau dan Lobak berada dalam kedudukan paling selesa berdasarkan perkembangan kempen serta maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, Nilai dan Lukut juga berada dalam kategori mempunyai peluang kemenangan yang tinggi sekiranya momentum sokongan semasa dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.
Bagaimanapun, beliau mengakui beberapa kerusi lain termasuk Repah, Temiang, Rahang dan Seremban Jaya bakal menyaksikan persaingan lebih sengit, sekali gus memerlukan gerak kerja jentera diteruskan sehingga saat akhir.
Menurut sumber itu, Chennah pula menjadi kerusi paling sukar diramal dengan peluang kemenangan disifatkan seimbang, bergantung kepada corak keluar mengundi serta sokongan pengundi, khususnya masyarakat Cina.
Bagaimanapun, katanya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan rekod perkhidmatan beliau di Chennah sejak sekian lama, selain pengalamannya sebagai pemimpin kanan parti dan anggota Kabinet.

“Anthony tetap perlu berwaspada kerana tiada kerusi boleh dianggap selamat. Namun beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang baik di Chennah dan juga di peringkat Persekutuan.
“Pada akhirnya, keputusan di Chennah banyak bergantung kepada corak keluar mengundi, terutama sokongan pengundi Cina,” katanya.
Sementara itu, sumber kanan PKR berkata, parti itu berpotensi memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kadar keluar mengundi melepasi 70 peratus sebelum jam 4 petang.
Menurut sumber itu, Nor Azman Mohamad dijangka mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti tipis sekitar 200 hingga 300 undi.
Di Linggi, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, diramal menang dengan majoriti tipis, manakala di Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim dijangka mampu mencatat kemenangan dalam persaingan sengit.

Datuk Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim di DUN Pilah dijangka mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti sekitar 1,500 undi.
Sementara itu, calon PKR di Chuah, Datuk Yew Boon Lye, dijangka mencatat kemenangan paling selesa dengan majoriti dianggarkan antara 4,000 hingga 5,000 undi.
PKR turut diramal merampas DUN Jeram Padang daripada Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Manivannan Gowindasamy.
Dalam pada itu, sumber berkenaan menyifatkan Sri Tanjung sebagai antara kerusi paling kompetitif bagi PKR, dengan keputusan dijangka bergantung kepada kadar keluar mengundi pada hari pengundian.
“Kebanyakan kerusi marginal akan ditentukan oleh kadar keluar mengundi. Jika melepasi 70 peratus sebelum jam 4 petang, peluang PKR mencapai sasaran enam kerusi adalah lebih cerah,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, kedua-dua sumber berpandangan PH masih mempunyai kelebihan untuk mengekalkan pentadbiran Negeri Sembilan.
Namun mengakui kadar keluar mengundi akan menjadi faktor penentu di beberapa kerusi yang dijangka menyaksikan persaingan sengit sehingga saat akhir. – MalaysiaGazette
















