KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur tiga premis dipercayai menjalankan kegiatan rumah urut dan pelacuran di sekitar Jalan Yew, Jalan Tun Razak dan Pasar Pudu dalam Operasi Tindakan Khas Premis (Rumah Urut/Pelacuran) dengan kesemua premis terbabit diarahkan tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen.
Operasi yang bermula pada pukul 10 malam kelmarin hingga pukul 2 pagi semalam dilaksanakan hasil risikan dan siasatan DBKL yang mendapati berlaku aktiviti tidak bermoral di lokasi berkenaan.
Menurut DBKL, ketiga-tiga premis terbabit ditutup di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 selepas gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.
“DBKL turut mengeluarkan tiga notis kompaun terhadap pemilik premis kerana membina struktur sekatan dalaman seperti lot-lot bilik, tandas dan katil tanpa kelulusan.
“Tindakan merobohkan semua struktur berkenaan dilakukan serta-merta mengikut Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya DBKL dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, pelbagai barangan turut disita termasuk kondom, minyak pelincir dan peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut sebelum dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
DBKL memaklumkan, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti tidak bermoral dapat dibanteras di ibu negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menyalurkannya menerusi sistem aduan dalam talian DBKL di (https://adukl.dbkl.gov.my/)(https://adukl.dbkl.gov.my/). -MalaysiaGazette
















