Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin memperoleh ganti rugi RM250,000 selepas Mahkamah Tinggi hari ini mendapati seorang pemilik akaun Facebook memfitnahnya dengan mengaitkan beliau dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Pesuruhjaya Kehakiman Rihaida Rafie memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian saman fitnah difailkan Mohd Asri, 55, selaku plaintif terhadap Mohd Nawawi Abdul Razak, 39, sebagai defendan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu membayar kos RM50,000.

Rihaida berpuas hati, pernyataan pertama defendan memfitnah beliau namun plaintif yang turut dikenali sebagai Dr. MAZA tidak berjaya membuktikan pernyataan kedua hingga keempat memenuhi elemen fitnah terhadapnya.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pernyataan pertama memenuhi elemen-elemen fitnah dan seterusnya meneliti pembelaan yang dibangkitkan oleh defendan.

“Setelah menimbangkan keseluruhan keterangan pembelaan, mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan sebagaimana yang telah diplidkan,” katanya.

Sehubungan itu, Rihaida memerintahkan Mohd Nawawi membayar ganti rugi RM250,000 secara global dan membayar faedah ke atas jumlah ganti rugi itu pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif agar defendan membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebooknya dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

Defendan turut diperintah memadam pernyataan fitnah di akaun media sosial yang sama selain dihalang melalui pekerjanya mengeluarkan pernyataan fitnah di akaun serupa.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri mewakili Mohd Asri manakala peguam Mohd Tajudin Abd Razak bagi pihak Mohd Nawawi.

Semasa ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Faizal berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan hari ini setelah hampir dua tahun kes itu berlangsung selain Mohd Asri terpaksa berdepan pelbagai tohmahan sepanjang tempoh berkenaan.

Mohd Asri yang juga pensyarah memfailkan saman itu pada 10 Oktober 2024 dengan mendakwa defendan telah menerbitkan empat pernyataan fitnah dalam Facebook atas nama Mohd Nawawi Abd Razak pada 20 September 2024, yang boleh diakses oleh masyarakat umum.

Plaintif mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau merupakan sebahagian daripada pemimpin atau penyokong Gerakan GISBH.

Mohd Nawawi dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 November 2024, menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan aduan fitnah oleh plaintif adalah melampau, berlebihan dan direka bagi mendapatkan simpati mahkamah selain ia tidak benar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast