BALIK PULAU – Dua lelaki dari Aceh, Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengedar 147.188 kilogram dadah jenis methamphetamine, dua minggu lalu.
Tertuduh, Irfansyah, 30, dan rakannya, Junaidi, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 113.776 kilogram di kedudukan GPS Latitud 05 Darjah 07.045 Utara dan Longitud 100 Darjah 14.063 Timur di kawasan perairan Teluk Kumbar di sini, kira-kira jam 7.15 malam, pada 17 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar dadah berbahaya jenis cecair methamphetamineseberat 33.412 kilogram di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar manakala peguam, Datuk Naran Singh mewakili kedua-dua lelaki itu.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 30 September depan untuk serahan laporan kimia.
ARTIKEL BERKAITAN
Polis Marin gagalkan cubaan dua lelaki Indonesia seludup keluar syabu lebih RM6 juta
Media pada Jumaat lalu melaporkan cubaan dua lelaki menyeludup keluar 113.776kg syabu bernilai RM5.69 juta dan 3,497 kartrij vape mengandungi cecair disyaki methamphetamine seberat 6.3kg bernilai RM315,000 berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang menerusi Op Taring Gelora pada 17 Julai lalu.
Dalam operasi itu, kedua-dua suspek berusia 30 dan 51 tahun yang dipercayai bertindak sebagai transporter laut ditahan selepas bot nelayan tempatan dinaiki mereka dipintas kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Rimau.
Keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah bot fiber yang dipercayai digunakan sindiket bagi kegiatan penyeludupan itu dianggarkan berjumlah RM6.123 juta. – MalaysiaGazette
















