GEORGE TOWN – Cubaan menyeludup keluar lebih 120 kilogram (kg) syabu serta kartrij rokok elektronik (vape) mengandungi cecair disyaki methamphetamine bernilai lebih RM6 juta ke Indonesia menggunakan sebuah bot nelayan tempatan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang pada 17 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 51 tahun yang dipercayai bertindak sebagai transporter laut turut ditahan dalam Op Taring Gelora.
Operasi tersebut adalah hasil maklumat risikan berhubung pergerakan sebuah bot fiber yang disyaki digunakan bagi tujuan penyeludupan dadah.
“Semasa rondaan, anggota operasi mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Rimau.
“Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju dan melakukan pelbagai manuver berbahaya bagi mengelakkan ditahan.
“Selepas kira-kira 30 minit dikejar, bot ronda marin terlanggar bahagian belakang bot suspek sebelum mereka akhirnya berhenti dan berjaya dipintas,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Batu Uban di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan itu menemukan 113.776kg dadah disyaki syabu bernilai RM5.69 juta yang disimpan di dalam beberapa karung di ruang khas di bahagian hadapan bot berkenaan.
Beliau berkata, polis turut merampas 3,497 kartrij rokok elektronik (vape) mengandungi cecair disyaki methamphetamine seberat 6.3kg bernilai RM315,000.
“Turut dirampas sebuah bot fiber yang dipercayai digunakan sindiket sebagai pengangkutan, menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan RM6.123 juta.
“Rampasan ini bukan sahaja menggagalkan cubaan menyeludup dadah ke luar negara, malah menghalang pengedaran dadah yang dianggarkan boleh digunakan lebih 570,000 penagih, manakala cecair dadah dalam kartrij vape itu pula mampu dibekalkan kepada kira-kira 31,500 penagih,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai menerima upah RM10,000 setiap seorang bagi setiap perjalanan untuk membawa bekalan dadah dari Malaysia ke Indonesia.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kejayaan ini juga membuktikan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa masih cuba mengeksploitasi laluan laut negara sebagai transit sebelum bekalan dibawa keluar.
“Kita akan terus memperkukuhkan keupayaan risikan, rondaan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan sebarang cubaan sindiket jenayah rentas sempadan dapat dikesan dan dipatahkan pada peringkat awal,” katanya. – MalaysiaGazette
















