SEREMBAN – Sebahagian pengundi melihat persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini sebagai percaturan politik hanya untuk mendapatkan kuasa.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kerjasama itu mampu bertahan sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, walaupun ada pengundi yang menerima kerjasama BN-PN, sebahagian mereka mempersoalkan perubahan pendirian kedua-dua gabungan yang sebelum ini pernah bertelagah, tetapi kini kembali bekerjasama demi menghadapi pilihan raya.
Malah, ada pengundi menyifatkan pergaduhan dan perdamaian antara parti politik sebagai perkara yang akhirnya hanya mengelirukan rakyat, selain bimbang konflik sama kembali tercetus selepas pilihan raya.

Ardisyam Abbas, 47, berkata kerjasama BN-PN sepatutnya tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa kepada percaturan politik, lebih-lebih lagi jika hubungan antara parti kembali retak selepas memperoleh kuasa.
“Dalam politik kita tidak tahu bagaimana keadaannya. Hari ini mereka baik, esok pagi bercerai macam pasangan kekasih, mungkin sudah rapat semula. Politik ini memang berpusing.
“Itu yang menyusahkan rakyat, sebab benda ini mereka kena teliti betul-betul. Jangan buat rakyat macam bola. Kalau kali ini sudah buat gabungan, buatlah betul-betul dan tunaikan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

“Dulu gaduh, kemudian bergabung semula. Sekarang mereka gaduh, kemudian baik semula. Gaduh itu pun tak guna.
“Tak ada apa-apa. Bagi saya, itu politik sahaja. Kita ada pilihan sendiri. Pilihlah yang baik-baik dan fikirkan kepentingan masyarakat,” katanya.

Harizan Abdul Rahman, 57, pula berpandangan BN dan PN mungkin terpaksa bergabung bagi mendapatkan majoriti, namun percaturan itu boleh menjadi masalah sekiranya setiap parti masih membawa kepentingan dan kepimpinan masing-masing selepas berjaya membentuk kerajaan.
“Kalau dikira-kira, memang mereka perlu bergabung untuk mendapatkan majoriti. Sekarang mereka perlu mencari gabungan untuk mendapatkan majoriti dan mengambil alih kuasa.
“Tetapi apabila sudah bergabung, masing-masing mempunyai kepimpinan dan kepentingan sendiri. Itu yang boleh menjadi masalah selepas itu,” katanya.
Pandangan itu turut menggambarkan kebimbangan bahawa persefahaman BN-PN mungkin lebih bersifat strategi pilihan raya berbanding kesepakatan politik yang benar-benar kukuh, khususnya apabila kedua-dua gabungan mempunyai sejarah perbezaan pendirian dan persaingan antara satu sama lain.

Bagi Riwati A/P Dhanaraju, 53, gabungan BN-PN kini dilihat tidak jauh berbeza dengan gabungan politik lain, malah perubahan daripada bergaduh kepada bekerjasama semula menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar kerjasama itu.
“Saya rasa semua macam abang-adik. Lebih kurang sama sahaja. Lebih kurang macam PH juga. Mereka bergabung menjadi satu gabungan yang besar.
“Tengoklah apa yang boleh berlaku. Dulu mereka bergaduh kerana ada perbezaan antara satu sama lain. Sekarang mereka bergabung semula,” katanya.

Sementara itu, Jabar Ismail, 72, mengingatkan bahawa rakyat tidak mahu terus menjadi mangsa sekiranya parti politik kembali bergaduh selepas pilihan raya, sebaliknya mahu kerajaan yang dibentuk memberi tumpuan kepada masalah kehidupan harian.
“Yang penting ialah rakyat. Siapa pun yang menang, kita mahu mereka menjaga kepentingan rakyat.
“Dulu kalau mereka bergaduh, rakyat juga yang susah. Sekarang kita mahu mereka bekerjasama dan membantu rakyat. Kita mahu siapa sahaja yang menang nanti benar-benar membantu rakyat dan tidak hanya bercakap,” katanya.

Muthu A/L Tanggaraju, 68, pula secara terus terang melihat kerjasama BN-PN sebagai usaha mendapatkan kuasa bagi membentuk kerajaan, manakala Chan Yee See, 65, mengambil sikap berhati-hati kerana tidak pasti sama ada gabungan tersebut benar-benar dibentuk demi kepentingan rakyat atau atas kepentingan politik.
“Kuasa sahajalah. Untuk membentuk kerajaan. Kalau tidak bergabung, mungkin mereka tidak cukup kuat,” kata Muthu.
“Susah untuk saya cakap. Kita tidak tahu sama ada mereka bergabung untuk mendapatkan kuasa atau atas sebab lain,” kata Chan.

Dalam pada itu, Maran A/L Bala Subramanian, 50, pula berkata beliau lebih melihat kepada prestasi kerajaan sedia ada, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Saya tengok kalau ada orang miskin, mereka ada membantu. Kalau kita perlukan pertolongan pun ada bantuan. Mereka cuba membantu masyarakat,” katanya.
Secara keseluruhannya, persepsi pengundi yang ditemui menunjukkan persefahaman BN-PN masih berdepan persoalan mengenai keikhlasan, kestabilan dan ketahanan kerjasama tersebut.
Bagi mereka, gabungan yang dibentuk hanya untuk memenangi pilihan raya tidak memadai sekiranya akhirnya kembali berpecah dan bergaduh selepas memperoleh kuasa.
Lebih penting, pengundi mahu BN dan PN membuktikan bahawa persefahaman kali ini bukan sekadar ‘dulu gaduh, sekarang bergabung’, tetapi mampu bertahan untuk membentuk kerajaan yang stabil dan benar-benar menyelesaikan masalah rakyat. – MalaysiaGazette
















