Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) membuat simbolik 'flag-off' Jelajah Anak Muda PH bersama calon PH N.18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum (tiga kiri) pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 31 JULAI 2026.

KUALA PILAH –  Gelombang kepulangan anak perantau ke Negeri Sembilan menjelang hari pengundian esok dilihat memberi petanda positif kepada Pakatan Harapan (PH), apabila semakin ramai pengundi dilaporkan sudah pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil meminta semua pengundi, khususnya anak Negeri Sembilan yang masih berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

“Kepada semua pengundi, khususnya anak-anak Negeri Sembilan yang berada di luar, kalau masih 50-50 sama ada hendak balik atau tidak, saya harap buat keputusan untuk pulang mengundi.

“Pilihan raya ini menentukan masa depan kita. Pengundi meletakkan nasib negeri di tangan pemimpin. Jika kita memilih pemimpin yang betul, negeri akan mendapat manfaat.

”Tetapi jika memilih pemimpin yang tidak amanah, pelbagai masalah boleh berlaku pada masa hadapan,” katanya selepas menghadiri program ‘Flag-Off’ Jelajah Anak Muda PH sempena hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.

Turut hadir calon PH bagi DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Beliau turut memberitahu, laluan dari Seremban ke Kuala Pilah mula sesak dan hanya satu lorong  sejak tengah hari tadi.

Ditanya mengenai hari kempen terakhir PH, Fahmi berkata, kempen calon-calon PH di beberapa kawasan Negeri Sembilan mendapat sambutan positif  berbanding persepsi yang sering dimainkan di media sosial.

Katanya, apa yang disebarkan di media sosial atau diperkatakan oleh sesetengah pihak tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.

“Berdasarkan pemerhatian saya apabila turun ke banyak tempat, respons kepada calon-calon kita sangat positif dan saya lihat keterujaan rakyat untuk keluar mengundi memang ada,: ujarnya.

 

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas ‘flag-off’ Jelajah Anak Muda PH bersama calon PH N.18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum (tiga kiri) pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 31 JULAI 2026.

Mengulas mengenai usaha mendekati pengundi muda, Fahmi berkata, golongan itu kini lebih cenderung memilih pemimpin yang dekat dengan kehidupan mereka serta mampu membantu menyelesaikan isu harian.

Katanya, isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masalah setempat menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh golongan muda ketika membuat keputusan.

“Mereka bukan sekadar melihat kepada tokoh atau personaliti, tetapi mahukan pemimpin yang boleh bersama mereka, memahami masalah mereka dan membantu menyelesaikannya.

“Kadang-kadang isu yang mereka hadapi sangat lokal, misalnya peluang pekerjaan atau perkara yang memerlukan perhatian segera. Itu yang mereka nilai,” katanya lagi.

Fahmi mengakui golongan muda kini berdepan lambakan maklumat daripada pelbagai platform digital termasuk WhatsApp, Facebook dan TikTok, namun tidak semua maklumat yang diterima adalah tepat.

Katanya, fenomena fear of missing out (FOMO) turut mempengaruhi corak pemikiran sebahagian anak muda apabila mereka cenderung mengikut pilihan rakan-rakan.

“Maklumat sekarang terlalu mudah diperoleh tetapi belum tentu semuanya benar, justeru kita perlu meningkatkan kesedaran sivik supaya mereka memahami setiap undi yang diberikan akan menentukan masa depan negeri dan negara,” jelas beliau.

Beliau berkata, rakyat perlu memilih pemimpin yang mampu mengurus wang awam dengan baik serta memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Kita mahu duit rakyat dijaga dengan baik. Kita mahu pembangunan dilaksanakan dengan baik. Sebab itu saya berharap anak-anak muda dan mereka yang berada di perantauan pulanglah melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dan anak Negeri Sembilan demi masa depan negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast