GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam salah guna kuasa, penyelewengan kewangan dan pecah amanah susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan laporan RCI itu mendedahkan kegagalan tadbir urus yang serius dalam TH akibat campur tangan politik serta penyelewengan dalam pelaporan kewangan sehingga menjejaskan kepercayaan jutaan pendeposit.
Katanya, institusi yang sekian lama menjadi kebanggaan dalam pengurusan kewangan Islam dan dana haji itu bukan sahaja mengalami kegagalan institusi, malah turut mencemarkan reputasi Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
“Apabila institusi yang dibina berasaskan prinsip Islam didedahkan terbabit dalam salah laku, ia menghakis keyakinan orang ramai terhadap institusi keagamaan dan menimbulkan keraguan terhadap integriti pihak yang diamanahkan menguruskannya.
“Antara penemuan utama RCI ialah TH melaporkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017, namun mengikut piawaian pelaporan kewangan yang sepatutnya, institusi itu sebenarnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, dengan jurang RM4.8 bilion yang disifatkan berpunca daripada manipulasi penilaian aset serta kegagalan merekodkan kerugian rosot nilai.
“TH juga didapati beroperasi dalam keadaan defisit aset berbanding liabiliti sejak 2014, namun masih mengagihkan hibah melebihi kemampuan kewangannya sehingga menjejaskan modal pendeposit, selain pembayaran bonus berlebihan kepada pihak pengurusan ketika institusi itu berdepan tekanan kewangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mohideen, laporan RCI turut mengenal pasti campur tangan politik sebagai punca utama kepada penyalahgunaan itu apabila keputusan berkaitan kadar hibah dan strategi pelaburan dibuat berdasarkan kepentingan politik, bukannya pertimbangan kewangan yang berhemah atau prinsip etika Islam.
“Sehubungan itu, CAP menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap semua pihak yang terbabit tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
“Selain itu, Akta Tabung Haji 1995 perlu dipinda bagi menghapuskan kuasa luas menteri dalam urusan TH serta melarang ahli politik aktif memegang jawatan dalam lembaga pengarah atau pengurusan institusi berkenaan.
“Kita juga menggesa operasi pelaburan TH diletakkan di bawah pemantauan kawal selia yang lebih ketat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia bagi memulihkan integriti serta keyakinan orang ramai terhadap institusi itu,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian TH berdasarkan penemuan laporan RCI yang didedahkan itu akan dibawa ke muka pengadilan.
Beliau berkata, sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan Bank Negara.
Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020. – MalaysiaGazette
















