Ahmad Zahid Hamidi

JEMPOL – Kestabilan politik Negeri Sembilan perlu menjadi keutamaan dalam apa jua keputusan rakyat yang membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersaing dalam pilihan raya kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, persaingan yang berlaku hanyalah di gelanggang PRN, tetapi di peringkat Persekutuan kedua-dua gabungan kekal bersama dalam Kerajaan Perpaduan demi menjaga kepentingan nasional.

“Sama ada BN atau PH atau mana-mana parti gabungan (yang bakal membentuk kerajaan kelak) hakikatnya kestabilan politik di Negeri Sembilan hendaklah diwujudkan.

“Siapa sahaja yang mendapat perkenan Tuanku (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan) untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar mesti mendapat sokongan daripada semua pihak.

“Kita tidak mahu ‘rumah siap pahat berbunyi’ kerana kita mahu Negeri Sembilan terus muncul sebagai salah sebuah negeri yang maju bukan sahaja dari segi industri dan pertumbuhan ekonomi, tetapi dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda serta meningkatkan kuasa beli rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, di sini, petang ini.

Ahmad Zahid menyantuni rakyat ketika hadir pada Sesi Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau, Negeri Sembilan, petang tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasioanal (BN) berkata, sebaik tempoh berkempen berakhir pada jam 11.59 malam ini, semua pihak perlu kembali merapatkan hubungan serta menghormati mandat yang diberikan rakyat.

“Kita tahu Yang Berhormat Perdana Menteri telah menyatakan bahawa selepas ini kita hendaklah berdamai semula. Kita hendaklah merangkul semula hubungan di antara kita kerana di Putrajaya kita berada di dalam kerajaan yang sama.

“Tetapi di Negeri Sembilan dan sebelum itu di Johor, kita terpaksa berada di gelanggang yang berbeza. Inilah uniknya, inilah indahnya erti demokrasi di Malaysia.

“Demi menjaga kepentingan nasional, kita mesti bersama-sama untuk terus memantapkan Kerajaan Perpaduan dan komitmen kita untuk mendukung Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal akan terus dikotakan,” katanya.

Ahmadi Zahid yang yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, rakyat perlu membezakan landskap politik di peringkat negeri dan Persekutuan kerana kedua-duanya mempunyai dinamik tersendiri.

“Rakyat boleh berbeza pandangan dengan memberikan dokongan tetapi kita pemimpin-pemimpin di peringkat pusat dan negeri harus berfikiran terbuka dan berlapang dada.

“Ini termasuk untuk menentukan bahawa mana-mana gabungan ataupun pencantuman diwujudkan untuk membentuk sesebuah kerajaan di negeri-negeri hendaklah dihormati sepenuhnya kerana mandat rakyat telah diberikan dan mereka telah membuat keputusan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast