Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dengan tegas menafikan penglibatan pihak jabatan dalam sebarang dokumen Pesanan Kerajaan (LO)  fizikal atau arahan pembekalan mencurigakan yang dikeluarkan di luar sistem rasmi.

Dalam kenyataan itu, DVS berkata, pihaknya memandang serius aduan berhubung percubaan penipuan yang menyalahgunakan nama dan jawatan pegawainya serta dokumen LO palsu bagi memperdaya syarikat pembekal menyediakan bekalan dan perkhidmatan kononnya untuk program jabatan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini merupakan satu jenayah berat yang jelas berniat jahat bagi mencemarkan imej dan kewibawaan jabatan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Oleh itu, semua pembekal dinasihatkan untuk memastikan semua urusan perolehan rasmi berkaitan dengan DVS dilaksanakan menerusi Sistem e-Perolehan dan sentiasa berwaspada dengan tawaran yang dibuat di luar sistem tersebut.

Pembekal juga diminta berwaspada terhadap arahan yang diterima melalui panggilan telefon, WhatsApp, e-mel tidak rasmi atau dokumen yang tidak dapat disahkan.

Sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung dokumen perolehan yang diterima, pihak pembekal boleh berhubung secara terus dengan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya di talian 03-8870 2000 atau melalui e-mel [email protected].

Dalam pada itu, DVS turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyebarluaskan kenyataan ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, melindungi kepentingan pembekal serta membendung penyalahgunaan nama dan identity jabatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast