Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran sebuah van berhampiran BP Speed Laundry, Batu Pahat malam ini.

BATU PAHAT – Lima individu melecur selepas van pekerja yang dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik lalu terbakar dalam kejadian berhampiran BP Speed Laundry di sini malam ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan I, Ridwan Gembur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 8 malam.

Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya lapan kilometer.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati sebuah van pekerja terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terbakar.

Terdapat lima mangsa dalam van pekerja berkenaan tetapi berjaya menyelamatkan diri dan melecur

“Maklumat awal mendapati terdapat lima mangsa mengalami kecederaan melecur ketika menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum PKO tiba di lokasi.

Menurutnya, semua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dengan menggunakan EMRS untuk mendapat rawatan lanjut.

Van pekerja berkenaan dikatakan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik lalu terbakar

Katanya, PKO bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan tangki jentera sehingga berjaya dikawal.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tong gas asetilena dalam van berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast