SEREMBAN – Gabungan NGO Melayu Malaysia Negeri Sembilan secara terbuka menyatakan sokongan agar kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun dikekalkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu.
Pengerusinya, Che Ros Husin berkata, sokongan itu dibuat selepas mengambil kira rekod prestasi kerajaan negeri yang disifatkan stabil, bersih, berintegriti serta mampu menjamin kesinambungan pembangunan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan pencapaian sesebuah kerajaan, bukannya dipengaruhi sentimen politik yang memecahbelahkan masyarakat.
“Negeri Sembilan memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil, bersih, amanah dan berintegriti demi memastikan kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan orang Melayu khususnya dan rakyat Negeri Sembilan amnya.
“Kami berpandangan bahawa sebarang sokongan kepada sesebuah kerajaan hendaklah dibuat berdasarkan prestasi, integriti, tadbir urus yang baik serta kemampuan membawa manfaat kepada orang Melayu dan rakyat,” katanya pada sidang media di Hotel Palm, di sini, hari ini.
Beliau berkata, atas pertimbangan tersebut, Gabungan NGO Melayu Malaysia Negeri Sembilan menyeru masyarakat Melayu supaya mengekalkan kerajaan negeri sedia ada yang diterajui Aminuddin pada pengundian PRN Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Menurutnya, kepimpinan Menteri Besar itu telah membuktikan keupayaan menjaga syiar Islam, merancakkan pembangunan ekonomi, mengekalkan keamanan serta mengutamakan kebajikan orang Melayu dan seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Kami menyeru masyarakat Melayu menunaikan tanggungjawab mengundi dengan penuh rasa syukur dan insaf untuk mengekalkan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Pentadbiran beliau terbukti memberikan kebaikan yang banyak demi masa depan Islam, orang Melayu khususnya dan rakyat Negeri Sembilan keseluruhannya,” katanya.
Selain itu, katanya, gabungan berkenaan turut menyatakan pendirian senada dengan kenyataan Pertubuhan Profesor Melayu G70 yang sebelum ini menggesa masyarakat Melayu menyokong pentadbiran yang terbukti mampu mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negeri.
Pada masa sama, Che Ros menggesa masyarakat Melayu menolak budaya politik yang disifatkannya sebagai Khawarij, takfiri, penyebaran fitnah, berita palsu, politik kebencian, perkauman melampau serta sebarang bentuk ekstremisme yang boleh mengancam perpaduan rakyat.
“Negeri Sembilan sejak sekian lama dibina atas semangat hidup bersama dalam masyarakat majmuk.
“Justeru perbezaan pandangan politik perlu diraikan secara matang berasaskan ilmu, fakta, hujah dan proses syura, bukannya melalui penghinaan atau kempen yang menyemarakkan kebencian,” katanya.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir penyokong parti politik tertentu yang didakwa tidak menghormati institusi diraja, termasuk kemuliaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Institusi Istana merupakan payung negeri yang wajib dipelihara, dihormati dan dimuliakan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















