KUALA LUMPUR – Pengundi khususnya golongan muda perlu membuat pilihan berasaskan masa depan negeri dan negara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, demikian menurut Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong.
Beliau berkata, keutamaan perlu diberikan kepada dasar yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Pengundi Cina juga diharapkan dapat memberikan sokongan kepada BN demi memastikan agenda pemulihan dan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin tertekan merupakan antara kebimbangan utama masyarakat ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, perkara paling penting kepada masyarakat Cina ketika ini masih lagi ekonomi.
“Undi yang diberikan perlu mampu membantu menggerakkan ekonomi negeri, menarik pelaburan serta membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“Saya ambil contoh kejayaan pentadbiran BN di Johor yang membuktikan kestabilan politik dan dasar yang jelas mampu memacu pertumbuhan ekonomi sehingga mencatatkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara yang terbaik di Malaysia.
“Saya minta kepada semua pengundi menilai semula prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan pencapaian sebenar dari segi ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat, bukannya sekadar menggunakan pilihan raya sebagai medan untuk ‘mengajar kerajaan’.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, selepas perubahan yang berlaku, adakah ekonomi bertambah baik?
“Adakah peluang pekerjaan semakin banyak? Adakah sistem pendidikan semakin berkualiti dan kebajikan rakyat semakin terjamin?” katanya.
Pada masa sama, Choo Seong turut menekankan perpaduan antara kaum dan agama kekal menjadi asas penting kepada kestabilan politik serta pembangunan ekonomi mampan demi kemakmuran bersama.
“Kepada pengundi luar Kawasan, pulanglah tunaikan tanggungjawab masing-masing bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Setiap lima tahun rakyat diberi peluang menentukan hala tuju negeri.
“Pilihlah kerajaan yang benar-benar mampu berkhidmat kepada rakyat, memacu pembangunan dan menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.
PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos ini melibatkan 103 calon yang merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminudin Harun telah membubarkan Dewan Undangan Negeri selepas mempunyai sokongan minoriti selepas BN menarik sokongan terhadap beliau.
Pembubaran itu berlaku kurang dari tempoh sepenggal di mana sebelum ia ditadbir kerajaan perpaduan antara BN dan PH. – MalaysiaGazette
















