SEREMBAN – Kerajaan akan mendedahkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji tanpa menyorok atau memotong mana-mana bahagian, termasuk nama individu yang terlibat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet sudah membuat keputusan supaya keseluruhan laporan itu diterbitkan bersama syor serta proses yang berlaku sepanjang tempoh siasatan.
“Kita akan terbitkan keseluruhannya. Kita akan keseluruhan laporan, rekomandasi dan proses-proses yang diambil (semasa siasatan). Tidak ada mana-mana aspek dalam laporan itu akan dipotong,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, hari ini.
Menurut beliau, skop laporan asal RCI menjurus kepada tempoh sehingga 2014 sebelum disusuli beberapa amaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun-tahun berikutnya.
Bagaimanapun, kerajaan turut mengarahkan supaya penelitian diteruskan melangkaui tempoh tersebut bagi melihat perkembangan selepas 2017, termasuk tindakan yang diambil oleh pelbagai jawatankuasa serta pengurusan semasa Tabung Haji.
“Saya rasa lebih baik umat Islam dan rakyat Malaysia diberi peluang untuk melihat keseluruhannya. Yang penting adalah sebagai pengajaran supaya perkara itu tidak berulang.
Anwar menegaskan mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab atas sebarang salah laku perlu disiasat dan, jika terdapat asas undang-undang, dibawa ke muka pengadilan.
“Yang bertanggungjawab mesti disiasat dan didakwa mengikut proses pendakwaan,” katanya.
Mengulas persoalan sama ada pendedahan laporan itu akan menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan UMNO menyokong keputusan kerajaan untuk mendedahkan laporan tersebut.
“Sejujurnya, Ahmad Zahid dan kumpulannya menyokong pendedahan keseluruhan laporan RCI,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas dakwaan mengenai pemberian ganjaran kepada kakitangan Tabung Haji ketika institusi berdepan pelbagai isu, Anwar berkata beliau kesal jika benar perkara itu berlaku.
Malah Anwar turut menegaskan amanah yang diberikan kepada pengurusan institusi agama tidak boleh dikhianati.
Katanya, rakyat perlu meneliti keseluruhan laporan terlebih dahulu sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit.
“Kalau ikutkan banyak sangat masalah berbangkit jadi mereka yang membaca dan tahu mana mungkin syarikat rugi tapi lapor kata untung,” jelasnya lagi.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan RCI mengenai TH akan diadakan pada 11 Ogos ini selepas perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan semalam mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk. – MalaysiaGazette
















