Dua butir bom tangan asap antara dirampas dalam serbuan berkenaan.

BUKIT MERTAJAMPolis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas pelbagai jenis dadah serta dua butir bom tangan asap dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Gemilang Indah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, dalam operasi kira-kira jam 6.40 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah itu turut membawa kepada tangkapan tiga suspek tempatan termasuk seorang wanita.

Jelas beliau, serbuan pertama membabitkan tangkapan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 47 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada rampasan dadah disyaki heroin, methamphetamin dan ganja, selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pembungkusan serta pengedaran dadah.

“Pemeriksaan lanjut di kabinet dapur rumah berkenaan membawa kepada penemuan sebuah kotak besi yang mengandungi dua butir bom tangan asap.

“Bertindak atas maklumat lanjut yang diperoleh, kita menjalankan serbuan kedua dan berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 46 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Aminuddin berkata, semakan mendapati suspek lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama mempunyai satu rekod kesalahan dadah, manakala dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki berusia 47 tahun positif ganja, manakala dua lagi tangkapan didapati negatif terhadap penyalahgunaan dadah.

“Kita turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga kereta, lima motosikal, tiga bentuk cincin emas serta wang tunai RM5,700, menjadikan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM303,400.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 6 Ogos depan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast