LOGO BARU TABUNG HAJI
Lembaga Tabung Haji

Oleh: Dr. Mohd Amim Othman

SABAN bulan, jutaan pekerja dan penjawat awam di seluruh negara melihat slip gaji mereka dipotong secara automatik untuk disalurkan ke dalam pelbagai agensi simpanan awam yang ditubuhkan oleh kerajaan. Sebahagian daripada mereka membuat caruman secara tetap untuk Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] demi menjamin kelangsungan, keselesaan, dan jaminan kewangan tatkala melangkah ke alam persaraan.

Terdapat kelompok penabung mengetepikan sebahagian wang pendapatan bulanan mereka ke dalam Lembaga Tabung Haji, mengumpul dana simpanan secara konsisten selama berpuluh-puluh tahun dengan matlamat untuk memenuhi kewajipan menunaikan rukun Islam kelima di Makkah. Wang simpanan yang terkumpul di dalam agensi-agensi ini mewakili simpanan amanah, pengorbanan, serta harapan jutaan rakyat biasa yang menyumbang secara berterusan kepada pembangunan ekonomi negara.

Namun begitu, pendedahan berhubung skandal kewangan berskala gergasi dan krisis kerosakan nilai pelaburan yang melanda negara sejak sedekad lalu telah menimbulkan persoalan yang amat serius mengenai tahap tadbir urus serta keselamatan dana berkenaan. Isu ini mencetuskan kebimbangan berasas dalam kalangan masyarakat awam mengenai sejauh mana wang simpanan mereka dilindungi secara mutlak daripada pengaruh campur tangan politik, ketirisan, dan keputusan pelaburan yang tidak berhemah.

Apabila meneliti semula rekod krisis kewangan gergasi yang pernah menggoncang kestabilan ekonomi dan pentadbiran negara, corak kegagalannya menunjukkan satu persamaan utama iaitu kelemahan sistem urus tadbir dalaman yang digabungkan dengan campur tangan pihak luar. Contoh yang paling ketara dapat dilihat menerusi skandal kelulusan pinjaman mudah berjumlah RM4 bilion oleh KWAP kepada syarikat SRC International Sdn Bhd pada tahun 2011 dan 2012.

Sebagai sebuah institusi kewangan awam yang diamanahkan menguruskan dana persaraan, KWAP terikat dengan protokol kawalan risiko yang amat ketat, namun atas alasan wujudnya jaminan daripada pihak kerajaan, pinjaman berbilion ringgit tersebut telah diluluskan dengan pantas. Prosiding mahkamah seterusnya mendedahkan dana persaraan tersebut langsung tidak dimanfaatkan untuk projek pembangunan sektor tenaga strategik seperti yang dimandatkan, sebaliknya dipindahkan ke akaun-akaun persendirian dan disalah guna di luar kerangka perundangan.

Tidak lama selepas krisis SRC International, Lembaga Tabung Haji turut menghadapi krisis kepercayaan yang teruk berikutan keputusan membeli sebidang tanah di kawasan Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM188.5 juta daripada syarikat 1MDB yang ketika itu mengalami bebanan hutang yang amat kritikal.

Kemerosotan kedudukan kewangan Tabung Haji memuncak apabila laporan audit forensik mendedahkan wujudnya defisit kewangan yang parah apabila jumlah liabiliti melebihi nilai keseluruhan aset dan manakala agihan dividen tetap dilaksanakan menerusi kaedah perakaunan yang tidak mencerminkan realiti semasa kewangan secara telus. Selain penyelewengan yang dipengaruhi ahli politik, cabaran terhadap keselamatan dana awam kini turut dipengaruhi oleh dinamika pasaran baharu, termasuk sindrom Fear of Missing Out (FOMO) dalam kalangan pengurus dana tempatan.

Pengurus dana awam negara sering mengamalkan pendekatan yang amat konservatif, sehingga menyebabkan negara terlepas peluang pelaburan awal dalam syarikat gergasi seperti Grab yang akhirnya memilih untuk bertapak di Singapura akibat kekangan birokrasi dan penilaian yang terlalu rigid.

Kesan daripada penyesalan terlepas peluang keemasan tersebut telah mendorong sesetengah pengurus dana mengambil sikap terburu-buru dengan melabur dalam syarikat pemula seperti kes penurunan nilai pelaburan dalam syarikat e-Fishery dari Indonesia. Tanpa proses due diligence (kewajaran) yang ketat dan penilaian risiko yang mencukupi dan terburu-buru, KWAP terperangkap dalam penyelewangan kewangan antara yang terbesar di Indonesia melibatkan beberapa agensi pelaburan terkenal di dunia.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh tekanan berterusan ke atas pengurus dana untuk menjana kadar pulangan serta pendapatan yang tinggi bagi membiayai pengagihan dividen dan menyokong keperluan kewangan kerajaan. Tekanan KPI kewangan yang terlalu agresif ini memaksa pengurus dana beralih daripada portfolio berisiko rendah kepada kelas aset spekulatif yang berisiko tinggi tanpa persediaan kawalan risiko yang kukuh.

Apabila skandal atau kerosakan nilai pelaburan ini terbongkar di tatapan umum, ahli lembaga pengarah (ALP) serta pihak pengurusan tertinggi kebiasaannya mengambil sikap defensif bagi menafikan liabiliti undang-undang dan mengelakkan pendakwaan atau tindakan tatatertib di mahkamah.

Pihak pengurusan kerap mendakwa keputusan dibuat berasaskan prosedur operasi standard dan pertimbangan komersial semata-mata, sedangkan realitinya terdapat keputusan kewangan melibatkan campur tangan politik yang cuba dinafikan secara berterusan bagi melindungi kedudukan dan pengaruh parti masing-masing.

Terdapat juga kecenderungan dalam kalangan pimpinan politik untuk menuding jari serta menyalahkan pihak lain apabila berlaku salah laku atau penyelewengan dalam agensi di bawah kawalan mereka. Namun dari sudut perundangan dan akauntabiliti pentadbiran, pimpinan tertinggi politik yang dilantik dan terlibat secara langsung perlu memikul tanggungjawab penuh ke atas transaksi berskala besar yang berlaku dalam agensi di bawah kepimpinanan mereka.

Sikap berlepas tangan ini menjejaskan prinsip akauntabiliti tadbir urus kewangan awam secara serius serta memindahkan beban kerugian kewangan tersebut secara tidak adil kepada pendeposit dan rakyat biasa. Dalam konteks ini, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelongkar dan membongkar siri ketirisan serta kebobrokan urus tadbir dana amanah negara harus dinilai sebagai satu langkah reformasi yang amat penting. Ketegasan politik untuk mendepani dan membedah kerosakan institusi secara terbuka merupakan tindakan dasar yang kritikal dalam usaha memulihkan integriti tata kelola pentadbiran awam yang telah terjejas noda sekian lama.

Persoalan utama yang perlu ditangani ialah kegagalan pengurusan untuk bertindak secara bebas apabila institusi berkenaan dicampuri oleh tokoh-tokoh politik yang menduduki kerusi di peringkat lembaga pengarah. Analisis terhadap krisis-krisis ini menegaskan keperluan mendesak untuk menguatkuasakan dasar melarang ahli politik daripada menganggotai lembaga pengarah atau memegang sebarang jawatan kepimpinan dalam agensi pengurusan dana awam.

Cadangan penetapan had yang ketat ke atas penglibatan ahli politik ini amat penting bagi memastikan tidak wujud lagi amalan tuding-menuding atau melepaskan batuk di tangga apabila berlaku kegagalan dalam urus tadbir agensi. Garisan akauntabiliti yang jelas akan memastikan pihak yang membuat keputusan pelaburan bertanggungjawab sepenuhnya tanpa perlindungan politik.

Penglibatan ahli politik sepatutnya dihadkan secara eksklusif kepada agensi pelaksana dasar kerajaan sahaja. Langkah pengasingan ini bertepatan kerana mandat sesebuah parti politik diuji menerusi keberkesanan pelaksanaan dasar sosioekonomi di peringkat lapangan, bukannya menerusi penglibatan dalam aktiviti komersial atau pelaburan berisiko semata-mata.

Penyertaan ahli politik berpengaruh dalam lembaga pengarah agensi dana terbukti menjejaskan sistem semak dan imbang, sekali gus mengehadkan kebebasan pegawai teknokrat, juruaudit dalaman, dan Jawatankuasa Penilaian Risiko untuk menguatkuasakan kuasa veto ke atas transaksi yang meragukan. Sebaliknya, keanggotaan lembaga pengarah agensi dana awam wajib dipilih dari kalangan pakar profesional bertauliah seperti penganalisis kewangan, juruaudit, pakar undang-undang korporat, dan pengurus risiko bebas yang tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan politik.

Ahli Lembaga Pengarah bebas ini perlu dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan setiap keputusan pelaburan secara telus, berani, dan berintegriti di hadapan jawatankuasa kawal selia mahupun pandangan awam, sejajar dengan Prinsip Santiago  bagi dana kekayaan berdaulat. Sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan perlu meminda perundangan berkaitan bagi melarang lantikan ahli Parlimen, ADUN, atau pemegang jawatan parti politik ke dalam lembaga pengarah GLIC dan GLC demi menjamin akauntabiliti dan memelihara simpanan amanah rakyat bagi generasi masa kini dan akan datang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast