TAMPIN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan atau aduan rasmi berhubung dakwaan amalan politik wang atau sogokan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun menegaskan sebarang isu atau dakwaan berkaitan rasuah pilihan raya sepatutnya disalurkan terus kepada agensi penguatkuasaan berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, peranan SPR lebih tertumpu kepada pengurusan teknikal serta perjalanan proses pilihan raya, bukannya menjalankan siasatan jenayah rasuah.
“Kami tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dengan berlakunya sogokan atau sebagainya.
“Kita berharap supaya pihak-pihak yang mempunyai maklumat berkenaan perkara tersebut dapat mengemukakan aduan rasmi terus kepada agensi berkaitan iaitu SPRM ataupun PDRM,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Perdana Tampin di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kesalahan pilihan raya, beliau memaklumkan SPR setakat ini hanya menerima laporan berkaitan kesalahan-kesalahan kecil dan tindakan susulan telah pun diambil secara berperingkat.
“Pihak kami cuma menerima laporan-laporan yang berkaitan dengan kesalahan-kesalahan kecil pilihan raya (dan) itu yang telah pun kita ambil tindakan dari masa ke semasa.
“Kami cuma mengambil kira perkara-perkara yang berkaitan dengan proses pilihan raya sahaja dan kita serah perkara yang berkaitan dengan isu-isu rasuah ini kepada agensi yang berkaitan,” jelas beliau.
Mengenai proses pengundian esok, Ramlan memaklumkan kesemua pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh Negeri Sembilan kini berada pada tahap siap siaga 100 peratus bagi proses pengundian yang akan bermula jam 8 pagi esok.
“Kita cuba untuk mengeluarkan keputusan paling awal dalam pukul 10 malam esok dan keputusan penuh kita cuba sebelum pukul 12 malam,” katanya. – MalaysiaGazette
















