SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui kekalahan selepas gagal memenangi semua 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu menerima keputusan rakyat Negeri Sembilan yang memberikan sokongan kepada calon-calon Bersatu yang bertanding menggunakan simbol parti buat pertama kali tanpa bergantung kepada mana-mana pihak lain.
Menurut beliau, keputusan tersebut menjadi isyarat jelas kepada parti untuk melakukan pembaharuan termasuk memperkukuhkan disiplin dalaman serta menggandakan usaha membawa agenda perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa agenda perubahan yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang disifatkan telah bekerja keras membantu calon-calon Bersatu sepanjang kempen PRN dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan parti.
Katanya, Bersatu akan melakukan bedah siasat secara menyeluruh terhadap keputusan pilihan raya itu bagi mengenal pasti langkah strategik untuk memperkukuhkan perjuangan parti pada masa hadapan.
“Bersatu akan meneliti keputusan ini secara terperinci dan membuat bedah siasat untuk mengenal pasti beberapa langkah strategik yang dapat memperkukuhkan perjuangan Bersatu untuk terus membawa agenda rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Azmin memaklumkan Bersatu juga akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif sebagai usaha menyegarkan demokrasi negara demi masa depan yang lebih cemerlang. – MalaysiaGazette
















