KUALA LUMPUR — Seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai bertindak mencederakan dirinya di bilik guru sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor semalam.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat gantung manakala polis kini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pukul 7.15 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan seorang guru dipercayai telah bertindak mendatangkan mudarat ke atas dirinya.
Menurut beliau, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan.
“Pada kira-kira pukul 8.20 pagi, sepasukan polis hadir ke lokasi kejadian dan hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai bertindak mendatangkan mudarat terhadap dirinya menggunakan tali di bilik guru yang terletak di tingkat satu sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan pada pukul 5.30 petang di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dan keputusan mengesahkan punca kematian adalah akibat gantung.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6064 1222, atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Halim Khan Hazam Khan di talian 03-6048 1222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















