PORTO GERMENO – Ratusan anggota bomba di Greece bertungkus-lumus menyelamatkan sebuah pusat peranginan pesisir yang popular di barat laut Athens ketika angin kencang terus melanda negara itu hingga menyukarkan operasi memadam kebakaran hutan.
Jabatan Bomba Greece memaklumkan, lebih 300 anggota bomba dikerahkan ke kawasan Porto Germeno, kira-kira 70 kilometer di barat laut Athens, di wilayah Viotia.
Timbalan jurucakap Jabatan Bomba, Yiannis Artopios berkata, angin kencang menyebabkan kebakaran merebak kepada tiga lokasi berasingan di Porto Germeno.
Beliau berkata, hampir 30 pesawat telah digerakkan untuk membantu operasi pemadaman, namun tidak dapat beroperasi berikutan keadaan angin yang terlalu kuat.
“Keadaan hari ini sememangnya amat mencabar,” katanya.
Seorang penduduk Vilia yang terletak berhampiran, Dimos Economou berkata, banyak rumah telah terbakar namun setakat ini tiada kematian dilaporkan.
Menurut perkhidmatan cuaca meteo.gr di bawah Balai Cerap Kebangsaan Athens, kelajuan angin mencecah sehingga 130 kilometer sejam pada Sabtu.
Kebakaran itu bermula pada Jumaat berhampiran perkampungan pesisir Agios Vasileios.
Pada awalnya penduduk mengabaikan arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak perlindungan awam, menyebabkan kira-kira 300 orang terpaksa diselamatkan melalui laut.
Pegawai kanan perlindungan awam dari bandar Mandra, Dimitris Pagonis berkata, sehingga 150 rumah di Porto Germeno dipercayai rosak akibat kebakaran.
Seorang sukarelawan, Costas Liberopoulos pula mendakwa operasi di lokasi tidak diselaraskan dengan baik.
“Tiada siapa yang menguruskan keadaan. Masih ada rumah yang belum terbakar dan haiwan yang perlu diselamatkan, tetapi tiada siapa memberitahu sama ada kami boleh masuk atau tidak,” katanya.
Sementara itu, pakar meteorologi kebakaran hutan di Balai Cerap Kebangsaan Athens, Theodore Giannaros, menyifatkan kemusnahan di Porto Germeno sebagai “tidak dapat dibayangkan” kerana kawasan yang terjejas dianggarkan melebihi 4,000 hingga 5,000 hektar.
Kebakaran hutan turut berlaku di beberapa lokasi lain di Greece minggu ini, termasuk di pulau peranginan Crete, dengan tiga anggota bomba dilaporkan terkorban setakat ini.
Di Crete, hampir 5,000 hektar kawasan terjejas akibat kebakaran, manakala kira-kira 1,000 hektar lagi musnah dalam kebakaran di pulau peranginan Paros awal minggu ini.
Pada Jumaat, satu lagi kebakaran mengancam kawasan pinggir bandar Haidari di barat Athens sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan.
Amaran risiko kebakaran pada tahap maksimum turut dikeluarkan bagi kawasan Athens, sebahagian Peloponnese, Crete, Greece tengah serta kawasan sempadan dengan Turkiye.
Bentuk muka bumi Greece yang mempunyai ratusan pulau menyukarkan proses penghantaran bantuan kecemasan dengan pantas.
Seperti negara lain di rantau Mediterranean yang terkesan akibat krisis iklim, Greece berdepan kebakaran hutan hampir setiap musim panas susulan suhu tinggi, gelombang haba yang kerap dan kemarau.
Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, pada Khamis memberi amaran bahawa negara itu sedang berdepan “hari-hari yang sukar”, meskipun sebelum ini agak kurang terjejas oleh gelombang haba dan kebakaran besar berbanding Perancis dan Sepanyol. – Agensi
















