SEREMBAN – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai isyarat jelas rakyat menolak politik kebencian serta sentimen perkauman.
Beliau berkata, mandat yang diberikan pengundi daripada pelbagai kaum membuktikan rakyat lebih mengutamakan kestabilan dan pentadbiran yang mampu membawa kemakmuran kepada negeri.
“Yang penting rakyat sedang menunggu parti mana yang boleh terus memimpin rakyat untuk kebaikan semua rakyat yang berbilang kaum dan bangsa di Negeri Sembilan.
“Tentunya rakyat menolak unsur-unsur kebencian dan rakyat menolak unsur yang berkaitan dengan perkauman.
“Rakyat di seluruh Negeri Sembilan daripada kalangan orang Melayu, Cina, India, masyarakat arang asli dan kaum-kaum lain terus memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada gandingan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, malam tadi.
Jalaluddin berkata, beliau amat terharu dengan sokongan yang diberikan rakyat, malah mengakui tidak menjangkakan kemenangan sebesar itu.
“Saya mengucapkan rasa sangat terharu dan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, terutama pengundi yang telah memberikan mandat besar ini.
“Walaupun saya tidak menjangkakan kemenangan yang sebegitu besar tetapi Alhamdulillah dengan mandat dan amanah ini menjadi tanggungjawab kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk menghebatkan semula pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan yang menyaksikan gabungan BN-PN memperoleh lebih dua pertiga majoriti sekali gus menjawab segala persepsi negatif yang dimainkan sepanjang kempen pilihan raya.
“Keputusan yang telah dibuat oleh majoriti rakyat Negeri Sembilan seperti yang kita lihat telah memberikan mandat melebihi dua pertiga menjawab persoalan itu sebenarnya.
“Kita harap semua persepsi negatif yang telah ditaburkan dapat dihentikan. Kita pandang ke hadapan dan satukan semua pihak termasuk parti-parti politik untuk bersama-sama berusaha demi kemakmuran negeri ini,” katanya.
Mengulas pembentukan kerajaan negeri, Jalaluddin berkata, proses itu akan disegerakan sebaik sahaja segala rundingan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
“Secepat mungkin, bermula daripada saat ini. Itu kena tanya presiden saya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN dan PN supaya melaksanakan amanah rakyat tanpa kompromi serta memastikan setiap aku janji manifesto ditunaikan.
“Segala janji manifesto mesti ditunaikan. Saya dah sebut ketika kempen bahawa rakyat tidak akan bertolak ansur kepada wakil rakyat yang dipilih tetapi gagal menjalankan tanggungjawab.
“Oleh kerana itu, saya menyeru semua 25 wakil daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk memaksimumkan khidmat mereka tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Ditanya mengenai calon Menteri besar dan kemungkinan pelantikan dibuat seawal esok, Jalaluddin berkata perkara itu masih belum diputuskan.
“Mungkin esok? Saya tak pasti. Kita akan berunding dulu,” katanya. – MalaysiaGazette
















