KUALA LUMPUR — Seorang pemandu lori kontena mengalami kecederaan separa kritikal selepas kenderaan dipandunya terbabas di bahu jalan di susur masuk Tol Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS menghala ke Kem Sungai Buloh, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.01 petang itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas lori kontena jenis Volvo yang dipandunya terbabas.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.01 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama bantuan BBP Damansara digerakkan ke lokasi.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 3.16 petang dan mendapati mangsa masih tersepit di dalam kabin lori.
Komander operasi memaklumkan, anggota bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 5.50 petang dan didapati mengalami kecederaan separa kritikal.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi menyelamat melibatkan seramai 12 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT). – MalaysiaGazette
















