MHO bersama ahli keluarga mangsa telah menyerahkan memorandum kepada Taipei Economic and Cultural Office in Malaysia (TECO) semalam sebagai usaha mendapatkan pertimbangan sewajarnya daripada pihak berkuasa Taiwan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu pihak berkuasa Taiwan mempertimbangkan semula kes tiga rakyat Malaysia yang kini ditahan di negara itu selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket tawaran pekerjaan yang akhirnya mengheret mereka ke dalam kegiatan penipuan.

Setiausaha agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya berharap kerajaan Taiwan dapat melihat kes berkenaan daripada sudut kemanusiaan memandangkan ketiga-tiga individu terbabit dipercayai diperdaya oleh sindiket yang menawarkan pekerjaan sebagai pengawal peribadi atau pengiring keselamatan.

Beliau berkata, MHO bersama ahli keluarga mangsa telah menyerahkan memorandum kepada Taipei Economic and Cultural Office in Malaysia (TECO) semalam sebagai usaha mendapatkan pertimbangan sewajarnya daripada pihak berkuasa Taiwan.

“Kita menghormati sistem perundangan Taiwan dan tidak sesekali mencampuri proses undang-undang negara itu. Namun kita berharap mereka dapat menilai semula kes ini berdasarkan fakta bahawa mangsa dipercayai telah diperdaya oleh sindiket pekerjaan rentas negara.

“Mereka bukan dalang kepada kegiatan jenayah tersebut. Mereka adalah mangsa yang direkrut, dihantar ke luar negara dan akhirnya berdepan pendakwaan sedangkan individu yang mengatur serta meraih keuntungan daripada kegiatan itu masih bebas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hishamuddin berkata, kes berkenaan turut membuktikan sindiket pemerdagangan pekerjaan kini menggunakan modus operandi baharu dengan menawarkan pekerjaan yang kelihatan sah bagi menarik minat rakyat Malaysia bekerja di luar negara.

Katanya, sebaik tiba di negara berkenaan, mangsa dipercayai diberikan tugasan yang akhirnya mengaitkan mereka dengan kegiatan penipuan tanpa menyedari implikasi undang-undang yang bakal dihadapi.

“Perkara ini sangat membimbangkan kerana rakyat Malaysia diperdaya dengan tawaran pekerjaan yang kononnya sah tetapi akhirnya dijadikan alat oleh sindiket sebelum mereka sendiri menanggung akibatnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa Malaysia memperhebat siasatan bagi membongkar rangkaian ejen dan dalang yang merekrut rakyat tempatan untuk dihantar ke luar negara.

“MHO berharap kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Taiwan dapat diteruskan supaya kebajikan ketiga-tiga rakyat Malaysia ini terus terpelihara sepanjang proses perundangan berlangsung, selain membuka ruang kepada pertimbangan kemanusiaan yang sewajarnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga rakyat Malaysia, termasuk pasangan suami isteri, ditahan di Taiwan selepas didakwa terbabit dalam aktiviti penipuan. Bagaimanapun, keluarga mereka mendakwa kesemua mangsa menjadi mangsa sindiket pekerjaan yang menawarkan kerja bergaji lumayan sebelum dihantar ke negara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast