Neow Choo Seong.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA Kebangsaan menggesa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Kerajaan Selangor memberikan penjelasan penuh secara telus berhubung kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky yang didakwa diseksa ketika operasi menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Port Klang baru-baru ini.

Malah pihak yang bertanggungjawab dituntut supaya didakwa jika siasatan mengesahkan berlaku kekejaman terhadap haiwan terbabit.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, pihaknya amat terkejut dengan insiden tersebut yang didakwa berlaku ketika operasi penguatkuasaan MBDK sehingga mengakibatkan kematian haiwan berkenaan.

“Berdasarkan laporan berita dalam talian, orang awam dipercayai telah mengambil bahagian atau mengganggu operasi menangkap anjing liar sehingga mencetuskan kekecohan yang akhirnya membawa kepada kematian Rocky.

“Persoalannya, mengapa individu yang tidak diberi kuasa dibenarkan terlibat dalam operasi penguatkuasaan.

“Tindakan itu seolah-olah memberi ruang kepada perbuatan seperti hakim sendiri yang tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana operasi pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Choo Seong berkata, insiden itu lebih menyedihkan apabila Rocky didakwa dijerut pada leher sehingga sesak nafas sebelum dipukul hingga mati walhal haiwan itu merupakan anjing peliharaan sebuah keluarga tempatan dan bukan anjing liar yang ganas.

Katanya, apabila pemilik merayu supaya Rocky dipulangkan, tindakan berperikemanusiaan dan pertimbangan sewajarnya diberikan bukannya menggunakan kekerasan yang tidak perlu.

“Jika siasatan mengesahkan dakwaan tersebut, semua pihak yang bertanggungjawab mesti didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali terhadap individu yang menyebabkan kesakitan, penderitaan atau kekejaman yang tidak perlu terhadap haiwan,” ujarnya.

Beliau berkata, kejadian itu mengingatkan semula kepada insiden membabitkan seekor anjing jalanan dikenali sebagai Kopi yang ditembak mati oleh anggota Majlis Daerah Besut pada 2024 sekali gus menunjukkan kegagalan mengambil iktibar daripada tragedi lalu.

Sehubungan itu, beliau menggesa MBDK menyemak semula prosedur penguatkuasaan dengan bekerjasama rapat bersama pertubuhan kebajikan haiwan serta pusat perlindungan haiwan yang diiktiraf.

Menurutnya, pendekatan lebih berkesan ialah melaksanakan program Tangkap-Mandul-Lepas (Trap-Neuter-Release) yang telah diamalkan beberapa pihak berkuasa tempatan bagi menguruskan populasi haiwan liar secara lebih berperikemanusiaan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keutamaan pihak berkuasa tempatan yang didakwa lebih agresif menangkap anjing berbanding menangani masalah pembiakan tikus yang membawa risiko kesihatan awam seperti leptospirosis.

Katanya, penguatkuasaan yang berkesan seharusnya berpandukan sains, profesionalisme dan sifat belas ihsan bukannya menggunakan kekerasan melampau terhadap haiwan yang tidak berdaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast