LABU – Debaran tetap dirasai pasangan kembar, Muhammad Amar Hamimi dan Muhammad Amar Hamizan, 25, ketika menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini meskipun ia merupakan pengalaman kali ketiga buat mereka.
Amar Hamimi berkata, perasaan gementar tetap hadir setiap kali mengundi, namun proses pembuangan undi berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Walaupun kali ketiga, sebenarnya agak nervous juga. Tapi Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan tak ada apa-apa,” katanya yang selesai mengundi pukul 8.55 pagi,” katanya.
Adiknya, Amar Hamizan turut mengakui berkongsi perasaan yang sama apabila sedikit gementar sebelum memasuki saluran mengundi.
“Awalnya rasa agak nervous sikit. Tapi lepas dah mengundi, rasanya okay sebab semua pun berjalan lancar. Alhamdulillah,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tanggapan bahawa pasangan kembar sering berkongsi firasat atau perasaan yang sama, kedua-duanya hanya tersenyum sebelum mengakui kemungkinan debaran itu turut dirasai bersama.
“Mungkin sama juga,” kata mereka ringkas.
Pasangan kembar yang masing-masing sudah bekerja itu berkata, mereka tiba di pusat mengundi sekitar pukul 8.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Turut hadir mengundi ialah ibu bapa mereka Noor Liza Mohd Kasim, 53, dan Rohaimi Ishak, 54, yang memilih keluar dari rumah seawal pukul 8 pagi bagi mengelakkan hujan dan kesesakan.
Menurut Rohaimi, keluarganya membuat persiapan lebih awal kerana teruja untuk mengundi selain mahu memastikan urusan berjalan lancar.
“Memang bangun awal dan datang awal sebab takut hujan atau ada perkara lain yang ganggu perjalanan. Saya dah mengundi enam atau tujuh kali rasanya,” katanya.
Ibu mereka, Noor Liza berkata, beliau dan keluarga memilih mengundi pada awal pagi kerana cuaca yang masih baik selain mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Keluar awal sebab cuaca masih cerah. Takut nanti hujan atau jalan sesak yang ganggu perjalanan. Alhamdulillah, proses pengundian sangat baik, berjalan lancar, tenang, aman dan tak ada gangguan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Ramlan Roshdi berkata, beliau sememangnya lebih gemar mengundi pada waktu pagi setiap kali pilihan raya.
“Pagi macam biasalah. Kita nak elakkan cuaca panas dan kesesakan. Yang penting kita dah mengundi dan buat pilihan yang kita rasa terbaik,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Ilham Wancik berkata, beliau tidak pernah melepaskan peluang mengundi setiap kali pilihan raya dan menganggap proses pengundian di Negeri Sembilan kali ini berjalan seperti biasa walaupun mendapat perhatian seluruh negara.
“Pagi macam biasalah. Kalau ayam, pagi-pagi mesti dia nak cari rezeki. Sama juga, sama juga. Kita buat undikan, undi kita nak elakkan cuaca panas, jem.
“Maksudnya kalau beratur, tak panas sangat. Takut tak apa-apa hal terjadi,” katanya lagi.
Tinjauan Malaysia Gazette di beberapa pusat mengundi sekitar DUN Labu mendapati aliran pengundi pada sebelah pagi berlangsung lancar dengan kebanyakan mereka memilih hadir seawal pusat mengundi dibuka bagi mengelak cuaca panas dan kesesakan pada sebelah tengah hari. – MalaysiaGazette
















