KUALA LUMPUR – Lembaga Getah Malaysia (LGM) memaklumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi bulan Julai 2026 tidak diaktifkan kerana harga purata bulanan getah di peringkat ladang kekal melebihi paras pengaktifan yang ditetapkan.
LGM berkata, IPG hanya akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah cuplump di peringkat ladang berada di bawah RM3.00 sekilogram.
Menurutnya, IPG lateks turut akan diaktifkan secara automatik apabila IPG getah cuplump diaktifkan, dengan kadar bantuan ditetapkan sebanyak RM0.90 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).
“IPG ini akan dibayar kepada pekebun kecil getah Malaysia yang berkelayakan serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Bagi Julai 2026, harga purata getah cuplump di peringkat ladang direkodkan pada RM3.80 sekilogram di Semenanjung Malaysia, RM3.45 sekilogram di Sabah dan RM3.30 sekilogram di Sarawak.
Sehubungan itu, LGM memaklumkan IPG tidak diaktifkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi bulan Julai. – MalaysiaGazette
















